|
|
KOTA BHARU Ketika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan mengambil khidmat bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, ramai peminat The Red Warriors ragu-ragu dan menggelengkan kepala.
Suara-suara sinis kedengaran mempersoalkan keputusan tersebut.
Bagi segelintir peminat, Akmal hanyalah sejarah dan dia bukan lagi pemain yang suatu ketika dulu bermain dengan kelab bola sepak di Perancis.
Harapan besar penyokong untuk melihat Kelantan menjuarai sekurang-kurangnya satu piala musim ini mendorong keinginan mahu penyerang yang terbaik.
Bagaimanapun, Kelantan menutup kempen Liga Super sebagai naib johan,
namun prestasi Akmal ketika itu tidaklah boleh dikatakan hebat.
Bagaimanapun, berbeza apabila bermulanya saingan Piala Malaysia,
Akmal mula menunjukkan taringnya. Mulut pengkritik dikunci rapat melalui
persembahannya di atas padang.
Enam gol yang dijaringkan setakat ini menjadikan pemain berusia 29
tahun ini pujaan peminat, malah status sebagai penjaring terbanyak yang
dipegang setakat ini membuatkan tumpuan terarah kepada Kelantan untuk
dinobatkan sebagai juara pada edisi ke-84 saingan itu.
Bermula dengan jaringan ketika aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17
September lalu, Akmal tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus
mencatatkan nama selaku penjaring utama The Red Warrios.
Terbaru, pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV,
Akmal terus menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila
jaringannya pada minit ke-24 dan lambungan cantiknya kepada Mohd. Badri
Radhi di minit ke-79 mengakibatkan Gergasi Merah tumbang dek amukan Sang
Kijang.
Akmal ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini berkata, kemenangan
ke atas juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor adalah hadiah berharga
buat seluruh pemain, pengurusan dan peminat setia The Red Warriors.
Menurutnya, kejayaan tersebut akan terus dijadikan sebagai pembakar
semangat buatnya dalam usaha membantu Kelantan layak ke perlawanan akan
akhir dan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama.
Untuk perlawanan seterusnya saya akan terus memberikan tumpuan
sepenuhnya kerana saya mula mendapat rentak yang dicari-cari sebelum
ini.
Di awal musim lalu, saya akui, saya masih lagi tercari-cari rentak
tersebut, namun hasil kerjasama dan persefahaman baik dalam pasukan
akhirnya saya mendapat semula sentuhan tersebut, katanya.
Tambahnya, inilah masa terbaik buat dirinya untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan.
Ini adalah usaha saya untuk membina kekuatan diri. Bagi saya
kritikan peminat kepada saya sebelum ini, saya anggap ia sebagai sesuatu
yang positif," katanya.
--- UTUSAN MALAYSIA