Wednesday, March 7, 2012

Pemain Kelantan, Daudsu nyaris cedera kereta terbabas

06/03/2012 5:49pm

KOTA BHARU 6 Mac - Tonggak pertahanan kental The Red Warriors, Daudsu Jamaluddin, 27, berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang membuat pusingan `U' di Jalan Pengkalan Chepa-Kota Bharu dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, Daudsu bersama isteri, Nursyahmina Rasudin, 26, dan anak mereka, Nik Dhiya Qistina, 18 bulan terselamat dalam kemalangan tersebut dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pakar Perdana di sini.

Menceritakan lebih lanjut, Daudsu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa, untuk menghantar isteri ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di selekoh berhampiran kem tentera Markas Lapan Briged, dia ternampak sebuah motosikal dan seorang lelaki terbaring di atas jalan selepas dikatakan dilanggar sebuah kereta Iswara dari arah jalan sama.

"Bagi mengelak melanggarnya, saya cuba memusing stereng kereta ke tepi tetapi tidak sangka tindakan itu menyebabkan kereta terbabas. Ini merupakan kejadian pertama yang melibatkan saya dan keluarga. Saya bersyukur kerana terselamat dalam musibah ini," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi. - Utusan