MOHD Kahirul Azhan Khalid atau dikenali Yan mencipta sejarah muncul penjaga gol pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM 100Plus-Astro Arena 2014 yang berlangsung di Hotel Hilton, semalam.

Paling manis, kejayaan Yan turut diiringi dengan kemenangan anugerah penjaga gol terbaik sekali gus merampas takhta yang dipegang oleh Mohd Khairul Fahmi Che Mat dari Kelantan sebanyak empat kali berturut-turut.

Biarpun tidak meletakkan harapan yang tinggi bagi memenangi anugerah tersebut, ternyata Yan berjaya menidakkan hajat Mohd Badhri Radzi (Piya) dari Kelantan daripada memenangi buat kali kedua serta menenggelamkan nama penyerang Terengganu, Muhammad Nor Farhan yang disebut-sebut sebagai calon pilihan.

Tanpa diduga, magis berbisa Yan yang cemerlang  membantu pasukannya sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2014 membuatkan beliau sebagai pilihan utama memenangi anugerah yang menjadi impian kesemua pemain.

Yan yang ditemui selepas majlis berkenaan tidak menyangka terpilih sebagai pemenang kerana berpandangan terdapat calon lain yang lebih layak.

“Saya sama sekali tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi anugerah ini.

“Nama-nama lain yang bersaing juga hebat. Bukan satu tapi dua anugerah yang saya dapat, cukup membuatkan saya teruja.

“Kemenangan ini juga membuatkan saya lebih berazam untuk beraksi lebih baik lagi bersama Pahang, musim hadapan," katanya.

Menurut Yan lagi, hadiah kemenangan itu ditujukan buat penyokong setia skuad Tok Gajah yang tidak henti-henti menyokong kerjayanya selama ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh penyokong Pahang yang selama ini tidak berbelah bagi menyokong pasukan ini.

"Saya berjanji akan terus berusaha dan melakukan yang terbaik untuk membantu Pahang meraih kemenangan musim depan," katanya.

Hari gemilang buat skuad Tok Gajah berterusan apabila Zainal Abidin Hassan diiktiraf Jurulatih Terbaik mengetepikan calon pilihan Dollah Salleh (PDRM) dan Irfan Bakti Abu Salim (Felda).

Melengkapkan kemenangan berganda buat pasukan Pahang, kapten pasukannya, Mohd Razman Roslan dinobatkan Pemain Pertahanan Terbaik manakala Persatuan Bola sepak Negeri Pahang diumumkan sebagai Persatuan Bola Sepak Terbaik.

--- SINAR HARIAN