JUARA Piala Malaysia 2014, Pahang berjaya membolot lima daripada 13 anugerah yang dipertandingkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2014 hari ini.

Penjaga gol skuad 'Tok Gajah', Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang beraksi cemerlang sepanjang musim ini, meraih kejayaan berganda selepas dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

Pengendali pasukan Pahang, Zainal Abidin Hassan meraih anugerah Ketua Jurulatih Terbaik manakala kapten pasukan itu, Mohd Razman Roslan meraih anugerah Pemain Pertahanan Terbaik.

Lebih manis, Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) turut merangkul gelaran Persatuan Bola Sepak Terbaik berikutan kejayaan pasukan berkenaan muncul juara trebel iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, kapten pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi dan pemain Terengganu, Mohd Nor Farhan Mohd masing-masing menggondol anugerah Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik bagi musim kedua berturut-turut. 

Pemain yang mendapat jolokan 'Messi' Kedah, Muhammad Farhan Roslan meraih anugerah Pemain Muda Harapan selepas membantu skuad 'Helang Merah' mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ali Ashfaq yang meledak 17 gol bagi membantu skuad 'The Cops' muncul juara saingan Liga Perdana 2014, dipilih sebagai Pemain Asing Terbaik.

Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pula berjaya meraih anugerah Kelab Bola Sepak Terbaik dan Kelab Penyokong Terbaik manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerima anugerah Fair Play.

Pada majlis itu, FAM memberikan pengiktrifan kepada skuad bola sepak negara yang berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran iaitu Anugerah Lagenda Harimau Malaya.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan syarikat pengeluar minuman ringan, F&N Beverages (M) Sdn Bhd bagi mengiktiraf sumbangan pemain bola sepak dalam mengharumkan nama pasukan masing-masing dalam kancah bola sepak tempatan.

Keputusan anugerah berkenaan berdasarkan undian yang dijalankan para jurulatih dan pengurus pasukan Liga Super dan Perdana yang mengundi calon yang layak.

Sementara itu, Mohd Khairul Azhan yang ditemui pemberita selepas majlis itu tidak menyangka dapat meraih kejayaan berganda kerana berpandangan calon lain lebih layak untuk memenanginya.

"Saya tidak dapat ungkapkan perasaan saya pada waktu ini tetapi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua ibu dan bapa, para pemain serta pengurusan pasukan Pahang," katanya.

Pemain kelahiran Batu 3, Kuantan itu yang terkenal dengan panggilan 'Yan' dalam kalangan rakan sepasukan mahu menjadikan kemenangannya itu sebagai pembakar semangat bagi membantu Pahang meneruskan kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia 2015.

Senarai Pemenang Anugerah: 

Pemain Paling Bernilai: Mohd Khairul Azhan Khalid (Pahang)

Penjaga Gol Terbaik: Khairul Azhan Khalid (Pahang)

Pertahanan Terbaik: Mohd Razman Roslan (Pahang)

Pemain Tengah Terbaik: Mohd Badhri Radhzi (Kelantan)

Penyerang Terbaik: Mohd Nor Farhan Mohd (Terengganu)

Pemain Import Terbaik: Ali Ashfaq (Maldives, PDRM)

Pemain Muda Harapan: Muhammad Farhan Roslan (Kedah)

Jurulatih Terbaik: Zainal Abidin Hassan (Pahang)

Anugerah Fair Play: Terengganu

Persatuan Bola Sepak Terbaik: Pahang

Kelab Bola Sepak Terbaik: Johor Darul Ta'zim (JDT)

Kelab Penyokong Terbaik: JDT

Anugerah Lagenda Harimau Malaya: Skuad Sukan Asia 1974 Tehran, Iran.

- Bernama

--- SINAR HARIAN