PEMAIN datang dan pergi silih berganti. Itu sesuatu yang lumrah dalam bola sepak dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak terkecuali terpaksa membuat transformasi besar-besaran demi memperkasakan kembali The Red Warriors musim depan.

Semuanya gara-gara bekas juara tiga piala musim 2012 itu berdepan kemerosotan prestasi yang agak ketara, bukan sahaja terpalit dengan isu pemecatan jurulatih, Steve Darby malah percaturan silap Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri tersalah membeli pemain import tempang, Prince Tagoe, pertengahan April lalu.

Pengguguran hampir separuh muka lama perlu dilakukan bagi memastikan Kelantan kembali mencabar kejuaraan pada tahun ini setelah penyokong mereka bertindak menjauhkan diri daripada memenuhi stadium pada musim ini.

Namun usaha Kafa mengekalkan tonggak sedia ada selain membawa masuk beberapa muka baharu bukanlah satu tugas mudah, apatah lagi mereka berhadapan dengan krisis penajaan yang cukup serius ketika ini.

UCAP SELAMAT TINGGAL

Berdasarkan senarai tidak rasmi, seramai lapan pemain tempatan terpaksa mengucapkan selamat tinggal setelah nama mereka tidak berada dalam perancangan Kafa untuk membarisi skuad 25 pemain musim depan.

Mereka yang digugurkan ialah penyerang, Ahmad Shakir Md Ali, Muhammad Nazri Ahmad, Mohammad Ab Aziz Ismail, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Famirul Asyraf Sayuti, Faizol Nazlin Sayuti dan Mohamad Faiz Suhaimi.

Sementara itu, Ahmad Shakir disahkan kembali menabur bakti bersama negeri kelahirannya, Kedah sementara hala tuju enam rakannya itu masih samar sehingga kini.

Setakat ini, Kafa hanya bertindak membawa masuk bekas penyerangnya musim lalu, Mohd Norfarhan Muhammad (Terengganu), Norhafiz Zamani Misbah (Negeri Sembilan) dan Mohd Noor Hazrul Mustafa (Perak) bagi memperkuatkan pasukan tersebut.

GUGUR SEMUA IMPORT

 Tidak terkecuali berdepan pengguguran ialah tiga pemain import apabila Kafa bertindak tidak menyambung kontrak Hussien Alaa Hussein Salman, Mohamed Shawky Aly Abu El Yazid dan penyerang kebangsaan Liberia, Francis Forkey Doe.

Pada mulanya, Mohamed Shawky dikatakan mahu dikekalkan oleh jurulatih, George Boateng namun ia tidak menjadi kenyataan apabila Kafa tidak berminat kerenah ditonjolkan pemain kelahiran Port Said, Mesir itu manakala Forkey Doe terpaksa berkelana memilih Negeri Sembilan sebagai pasukan baharunya musim depan.

Selepas mengikat kontrak bekas pemain kebangsaan Australia, Jonathan McKain, baru-baru ini, Kelantan terus giat memburu calon pemain import terbaik bagi menguatkan jentera tengah dan serangan pasukan mereka.


--- SINAR HARIAN