Thursday, December 11, 2014

TRW serba lengkap

SEMUANYA sudah terjawab. Inilah senarai 26 pemain The Red Warriors (TRW) atau lebih tepat lagi Pahlawan Merah yang akan menggalas cabaran pasukan berkenaan pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Pengumuman Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pada Majlis Memperkenalkan Pemain TRW 2015 dan Penyerahan Bas, Isnin lalu menamatkan teka-teki yang menghantui penyokong mereka sejak dua bulan lalu.

Dengan tiga penjaga gawang, sembilan benteng pertahanan, sembilan tonggak tengah dan lima penyerang, mencerminkan betapa TRW kini mempunyai pakej pemain yang serba lengkap untuk mencabar kejuaraan pada musim depan.

 MUKA LAMA  

Boleh dirumuskan, Kafa tidak melakukan rombakan besar pada musim depan sebaliknya mengekalkan hampir 90 peratus muka lama yang berada dalam skuad George Boateng itu.

Penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi diberi kepercayaan mengawal kubu akhir pasukannya disusuli Mohd Shahrizan Ismail dan Muhammad Syazwan Yusoff.

Paling mengejutkan, di benteng pertahanan, apabila Muhammad Nazri Ahmad terus kekal Kelantan tatkala nama dia sebelum ini tercicir daripada perancangan asal skuad Pantai Timur itu.

Kelantan juga turut mengikat tonggak pengalaman Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd Noor Hazrul Mustafa (Perak) bagi menguatkan posisi berkenaan namun dua pemain ini perlu bersaing dengan pemain tempatan lain iaitu. Nik Mohd Shahrul Azim Ab
Halim, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Fitri Omar, Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin dan Jonathan McKain (Australia).



TAK BANYAK  

Tidak banyak perubahan berlaku di enjin tengah Kelantan dengan Mohd Badhri Radzi sekali lagi menggalas tanggungjawab lebih berat, tetapi perlu diingat, masih ada lagi nama besar yang menghiasi posisi tersebut.

Cukup menarik, apabila Wan Zack Haikal Wan Noor, Ahmad Fakri Saarani, Brendan Gan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Amar Rohidan, Faizol Nazlin Sayuti, Mohd Rozaimi Azwar Mat Noor dan Isaac Pupo (Liberia) terpaksa membuktikan kredibiliti masing-masing untuk
memikat hati jurulatih kelahiran Ghana itu.



SUDAH MEMADAI

Hanya lima pemain mengisi ruang selaku jentera penggempur, namun itu sudah mencukupi buat Kelantan. Menariknya, kepulangan pemain Harimau Muda A, Muhammad Ferrish Danial Mat Nasir ke negeri kelahirannya.

Berlainan pula bagi Mohd Norfarhan Muhammad atau Ben10 dan Mohd Khairul Izuan Rosli, selaku penyerang tempatan, mereka berdepan tugas sukar namun tidak mustahil untuk membuktikan ketajaman di depan gawang.

Ini kerana mereka berdua dibayangi reputasi tinggi pemain import Cameroon, Emmanuel ‘Pancho’ Kenmogne selaku pemenang Kasut Emas Liga Super Indonesia 2014 dengan 27 gol selain kehadiran pemain tinggi lampai yang pernah menyarung jersi Incheon United,
Stefan Nikolic dari Montenegro.
 
 
--- SINAR HARIAN