PEMAIN tengah Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah menyifatkan pertemuan menentang Selangor pada aksi pembuka tirai Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok, cukup penting bagi pasukannya ,lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Norhafiz Zamani atau lebih dikenali panggilan Angah berkata, kemenangan sulung ke atas Selangor bakal menentukan hala tuju The Red Warriors dalam pertandingan piala paling berprestij musim ini.

“Kebiasaannya, perlawanan pertama memang cukup sengit kerana semua pasukan akan bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata. Bagi saya, Kelantan juga tidak terkecuali biarpun bertemu Selangor di gelanggang keramat mereka.

“Kami perlu mendapatkan kemenangan itu sebagai suntikan moral kerana Kelantan akan berdepan dua lagi pasukan yang cukup kuat iaitu Felda United FC dan T-Team dalam kumpulan C, selepas ini,” katanya.

Tonggak berusia 34 tahun itu memberitahu, kemenangan ke atas Red Giants pada kempen Piala Malaysia mampu mengembalikan semula maruah pasukannya setelah mengakhiri saingan Liga Super di tangga kesembilan pada musim ini. 

Menurutnya, biarpun Selangor menjadi pasukan pilihan di Shah Alam, namun dia merasakan peluang 50-50 untuk kedua-dua pasukan meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

Mengulas lanjut pertemuan itu, Norhafiz Zamani yang tersisih akibat penggantungan ketika pasukannya tewas 0-3 dalam saingan liga, bulan lalu, mengakui skuad Mehmet Durakovic merupakan sebuah pasukan yang cukup sempurna di semua posisi mereka.

“Kami perlu berwaspada dengan kelibat awang import mereka iaitu Guilherme (De Paula), Leandro (Dos Santos) dan Andik (Vermansyah) yang menjadi sumber kekuatan pasukan itu di samping pemain tempatan seperti Ahmad Hazwan (Bakri) dan Kaptennya, Mohd Shahrom (Abdul Kalam),” katanya.


--- SINAR HARIAN