Monday, September 21, 2015

Tidak terdesak guna khidmat Brendan Gan

THE Red Warriors tidak terdesak untuk menggunakan pemain tengah versatil, Brendan Gan dalam kempen Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, adalah lebih baik pemain berusia 27 tahun itu terus menjalani rawatan bagi memastikan dia betul-betul pulih daripada kecederaan ligamen lutut atau ACL (anterior cruciate ligament).

“Saya tak nak beri harapan dan tak mahu proses pemulihannya dibuat secara tergesa-gesa. Kalau dia pulih mengikut jadual, Insya-ALLAH kemungkinan besar pada penghujung saingan Piala Malaysia dia boleh kembali bermain bersama Kelantan.

“Tapi kalau tengok situasi sekarang, saya rasa pemain-pemain yang ada boleh menjalankan tugas dengan baik untuk Kelantan memberi saingan dalam Piala Malaysia,” katanya.

Gan, pemain yang dilahirkan di Australia namun mempunyai kerakyatan Malaysia mengalami kecederaan ACL pada aksi sulung liga menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Paroi, 7 Februari lalu, memaksa dia berehat sepanjang musim ini.

Menurutnya, pihaknya sedang memantau proses rehabilitasi yang dilakukan pemain itu di Australia selepas menjalani pembedahan ligamen lutut itu, beberapa bulan lalu.

“Sekarang kita cuma tunggu masa sesuai untuk dia pulang ke sini. Adalah lebih baik kita pantau dia secara dekat bagi memastikan proses pemulihan itu dilakukan lebih tersusun dan teratur,” katanya.


--- SINAR HARIAN