Showing posts with label Brendan Gan. Show all posts
Showing posts with label Brendan Gan. Show all posts

Monday, September 21, 2015

Tidak terdesak guna khidmat Brendan Gan

THE Red Warriors tidak terdesak untuk menggunakan pemain tengah versatil, Brendan Gan dalam kempen Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, adalah lebih baik pemain berusia 27 tahun itu terus menjalani rawatan bagi memastikan dia betul-betul pulih daripada kecederaan ligamen lutut atau ACL (anterior cruciate ligament).

“Saya tak nak beri harapan dan tak mahu proses pemulihannya dibuat secara tergesa-gesa. Kalau dia pulih mengikut jadual, Insya-ALLAH kemungkinan besar pada penghujung saingan Piala Malaysia dia boleh kembali bermain bersama Kelantan.

“Tapi kalau tengok situasi sekarang, saya rasa pemain-pemain yang ada boleh menjalankan tugas dengan baik untuk Kelantan memberi saingan dalam Piala Malaysia,” katanya.

Gan, pemain yang dilahirkan di Australia namun mempunyai kerakyatan Malaysia mengalami kecederaan ACL pada aksi sulung liga menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Paroi, 7 Februari lalu, memaksa dia berehat sepanjang musim ini.

Menurutnya, pihaknya sedang memantau proses rehabilitasi yang dilakukan pemain itu di Australia selepas menjalani pembedahan ligamen lutut itu, beberapa bulan lalu.

“Sekarang kita cuma tunggu masa sesuai untuk dia pulang ke sini. Adalah lebih baik kita pantau dia secara dekat bagi memastikan proses pemulihan itu dilakukan lebih tersusun dan teratur,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Wednesday, February 11, 2015

Boateng ukir senyuman

TIADA apa yang mampu diucapkan pengendali The Red Warrios (TRW), George Boateng melainkan ukiran senyuman selepas mencatat tiga mata penuh menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 2-0 di Stadium Paroi.

Bagi Boateng, kemenangan ini adalah hasil usaha berpasukan yang komited melakar tiga mata dalam aksi sulung Liga Super 2015.

“Semua pemain menunjukkan persembahan sebagai satu pasukan, kita memiliki beberapa peluang namun kemenangan ini begitu berharga buat pasukan.

“Walaupun kita kekurangan seorang pemain akibat masalah kecederaan namun, mereka tidak berasa goyah malah menghadirkan ancaman kepada lawan termasuklah menjaringkan gol kedua,” katanya.

Mengulas beberapa pemain utamanya yang mengalami kecederaan, Boateng belum dimaklumkan secara menyeluruh tahap kecederaan tersebut.

“Norfarhan, Mohd Hazrul, Nik Shahrul Azim dan Brendan Gan mengalami kecederaan, sejauh mana tahap kecederaan hanya akan diketahui selepas pegawai perubatan melakukan pemeriksaan.

“Saya harap kecederaan mereka tidak serius dan mampu beraksi menentang Lions XII di laman sendiri Sabtu nanti,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Kecederaan Brendan Gan tidak serius




Brendan Gan mengerang kesakitan selepas terjatuh pada awal babak kedua memaksa Kelantan beraksi dengan 10 pemain dalam baki 40 minit terakhir.

 
DISEBALIK kejayaan meraih tiga mata ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi pembuka tirai Liga Super di Paroi, malam kelmarin, sebenarnya kemenangan tersebut terpaksa dibayar harga yang mahal oleh The Red Warriors (TRW).

Kecederaan yang menimpa pemain tengah, Brendan Gan pada awal babak kedua bukan sahaja menyaksikan pelawat beraksi dengan 10 pemain dalam baki 40 minit terakhir malah terpaksa bertahan dengan serangan bertali-arus ATM setelah pengendali pasukan, George Boateng sudah pun membuat tiga pertukaran pemain sebelum itu.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim bagaimanapun mengesahkan pemeriksaan awal mendapati kecederaan lutut yang dialami pemain kelahiran Australia itu tidak membimbangkan.

“Kita telah bawa Brendan Gan berjumpa doktor sejurus perlawanan malam tadi dan nampaknya kecederaannya tidak serius. Petunjuk awal juga mendapati, dia tidak mengalami kecederaan ligamen lutut atau ACL (anterior cruciate ligament).

“Setakat ini dia masih lagi boleh berjalan tanpa bantuan rakan sepasukan meskipun nampak terhincut-hincut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nasib malang menimpa Brendan Gan pada minit ke-50 selepas mengasak pemain ATM, Christie Jayaseelan dan tindakan refleksnya cuba memusingkan badan setelah terjatuh mengundang padah memaksa dia diusung keluar akibat kecederaan lutut itu.

Namun begitu, pengurus berusia 55 tahun itu memberitahu, kecederaan sebenar dialami Brendan itu hanya akan diketahui apabila pemain berusia 27 tahun dirujuk ke Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), Damansara, lewat petang semalam.

“Dia akan berjumpa doktor pakar di pusat perubatan tersebut hari ini (semalam) bagi menjalani imbasan Pengimejan Resonan Magnet (MRI). Mungkin malam ini (malam tadi) baharulah saya memperoleh keputusan mengenai kecederaannya,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Monday, February 9, 2015

Beraksi 10 Pemain Tidak Patahkan Semangat Pasukan - Azman

KOTA BAHARU, 8 Feb (Bernama) -- Pengurus Kelantan Azman Ibrahim memuji semangat ditunjukkan pemain pasukan tersebut walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Azman berkata beliau kagum dengan semangat juang ditunjukkan pemain The Red Warriors sepanjang 30 minit terakhir perlawanan itu, untuk mengutip tiga mata penuh di tempat lawan, selepas Brendan Gan dikeluarkan akibat kecederaan, tatkala Kelantan ketika itu telah menggunakan kesemua tiga pertukaran pemain.

"Saya amat kagum dengan sikap dan disiplin diperagakan pemain sepanjang tempoh berkenaan dan berjaya mengekang asakan bertali arus pihak lawan.

"Pemain beraksi sebagai satu unit dan saling membantu antara satu sama lain. Semangat ini amat diperlukan dalam saingan liga selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kelantan membuka langkah kanan dalam perlawanan pembuka tirai saingan Liga Super malam tadi, apabila menewaskan ATM 2-0 menerusi jaringan Mohd Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-13 dan Erwin Carrillo minit ke-61.

Azman, bagaimanapun mengingatkan anak buah George Boateng itu supaya melakukan persediaan mental dan fizikal yang lebih rapi bagi mengharungi musim ini yang dilihatnya cukup mencabar berikutan kemunculan beberapa pesaing baharu.

"Pemain juga perlu menunjukkan sikap positif dan komitmen tinggi jika mahu terus tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan pada setiap perlawanan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Azman berharap Gan tidak mengalami kecederaan serius kerana khidmatnya amat diperlukan oleh pasukan untuk mengharungi perlawanan selepas ini.

"Kita telah bawa Gan untuk berjumpa dengan doktor malam tadi (semalam), kecederaan yang dialami nampak tidak serius. Setakat ini dia boleh berjalan tanpa bantuan rakan-rakan walaupun terhenjut-henjut.

"Bagaimanapun, keputusan sebenar akan ditentukan selepas Gan menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur hari ini," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, February 8, 2015

TRW buru mata di tempat lawan


MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
7 Februari 2015


    Boateng (kiri) melihat latihan terakhir barisan pemainnya menjelang pertemuan menentang ATM. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH    Boateng (kiri) melihat latihan terakhir barisan pemainnya menjelang pertemuan menentang ATM. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH


MEMULAKAN saingan dengan langkah kanan menjadi impian semua pasukan dan Kelantan jelas tidak terkecuali mengharapkan perkara yang sama berlaku ketika berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW), George Boateng berkata, dia tidak mahu menetapkan sasaran untuk mengutip hanya satu mata pada pertemuan ini meskipun sedar pasukannya bakal mendapat tentangan sengit daripada skuad The Gladiators itu. 

“Saya tahu perlawanan pertama ini cukup sukar tetapi saya tidak mahu cakap besar. Kami mengharapkan satu permulaan menarik berlaku di sana malam ini, biarpun ATM juga turut mahukan kemenangan lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri.

“Sasaran kami menang, tidak kiralah jumpa Johor Darul Ta’zim (JDT) atau ATM sekali pun. Saya beritahu pemain, ini adalah pertemuan getir dan sebagai jurulatih, sudah pasti saya menaruh keyakinan Kelantan boleh beraksi lebih baik berbanding ATM,” katanya sejurus latihan terakhir pasukannya, semalam.

Bagi memastikan misi memburu tiga mata penuh mampu direalisasikan, pengendali kelahiran Ghana itu, turut membayangkan akan menyenaraikan kesemua empat pemain import dalam kesebelasan terkuat pasukannya pada malam ini.

“Perkara itu memang berada dalam perancangan, tetapi saya kena tengok situasi hari perlawanan esok (hari ini) macam mana. Kami perlu memikirkan bagaimana mahu mengimbangi kekuatan pasukan dengan meletakkan pemain tertentu di bangku simpanan,” katanya.

Menurutnya, Kelantan akan menampilkan corak permainan menyerang dan tidak sesekali bermain secara negatif atau bertahan kerana dia sedar jika aksi seperti itu dipamerkan, ia boleh menjerat diri pasukannya untuk meraih kemenangan sulung.

Tambahnya, hanya penyerang, Ahmad Fakri Saarani terpaksa disisihkan akibat penggantungan perlawanan setelah mengutip kad merah dalam saingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim lalu, manakala Brendan Gan yang mengalami demam kemungkinan besar kembali pulih menjelang pertemuan malam ini.

--- SINAR HARIAN

Monday, October 27, 2014

Brendan kekal bersama Kelantan




Brendan (tengah) kekal menyarung jersi Kelantan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
TEKA -Teki mengenai Brendan Gan akhirnya terjawab apabila pemain tengah versatil The Red Warriors (TRW) itu kekal menyarung jersi pasukan berkenaan untuk saingan Liga Malaysia musim 2015.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebooknya malam kelmarin mengumumkan Brendan, pemain yang mendapat taraf kerakyatan, Mac lalu, antara yang tersenarai dalam pasukan berkenaan untuk musim depan.

“Pemain berikut mempunyai kontrak dengan Kafa dan telah pun didaftarkan secara rasmi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu sebagai pemain skuad The Red Warriors musim 2015.

“Yang lain (pemain) sedang diuruskan. Apex (Khairul Fahmi Che Mat), Mat Chah (Mohd Shahrizan Ismail), Syazwan (Yusoff), Poknik (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Tuan Muhammad Faim (Tuan Zainal Abidin), Roypy (Zairul Fitree Ishak) dan Mohd Fitri (Omar).

Turut kekal bersama Kelantan ialah Wan Zack Haikal Wan Noor, Ahmad Fakri Saarani, Brendan Gan, Mohd Badri Radzi, Mohd Khairul Izuan Rosli, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Amar Rohidan dan Mohd Farisham Ismail.

Pengumuman terbaharu itu sekali gus menamatkan keresahan penyokong Pahlawan Merah yang sebelum ini terkejut dengan spekulasi tersebar luas mengenai perpindahan Brendan ke salah sebuah kelab di selatan tanah air.

Malah timbul desas-desus pemain kelahiran Australia itu dikatakan akan dijual dengan nilai jutaan ringgit kepada kelab berkenaan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Kelantan, tidak lama dahulu.

Menurutnya lagi, empat pemain import sudah mengikat kontrak dengan pihak Kafa dan nama mereka akan diumumkan sebaik sahaja urusan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) selesai tidak lama lagi.

“Masih ada tujuh slot lagi untuk pemain tempatan memperkasakan TRW. Senarai lengkap akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya ringkas.

Sementara itu, dalam entri berbeza, Annuar turut membayangkan pasukan Kelantan pada musim depan bakal memiliki pemain import yang mempunyai reputasi cukup hebat di pentas antarabangsa.

“Seorang kapten pasukan yang pernah beraksi dalam Liga Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia, seorang penjaring di liga sebuah negara Afrika 2014 dan seorang lagi juga penjaring terbanyak liga sebuah negara Asia musim ini,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Sunday, April 13, 2014

Brendan tak mengecewakan

Brendan (kiri) hadir tepat pada masanya memperkasakan TRW.
Forkey Doe (kanan) perlu buktikan kemampuan bukan bersandarkan pencapaian lalu.

Kehadiran Mohd Fitri Omar (kiri) jelas beri impak buat pasukan.

 
PENAMPILAN pemain baharu The Red Warriors, Brendan Gan pada aksi sulungnya ternyata tidak mengecewakan apabila membantu pasukan tersebut mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Terengganu dalam saingan Liga Super, baru-baru ini.

Malah bekas pemain Sydney FC yang beraksi dalam Liga Australia musim 2008 hingga 2011 itu yang diberi tanggungjawab beraksi selaku pemain sayap kanan turut bermain sepenuh masa dalam pertemuan negeri jiran tetangga itu.

Kehadiran Brendan, yang didaftarkan selaku pemain tempatan setelah jendela pendaftaran pemain dibuka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 23 Mac lalu mampu menyuntik kekuatan Kelantan yang dilihat bermasalah jentera tengah sebelum ini.

Apa yang boleh diperkatakan, usaha keras Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak hampir tiga bulan lalu untuk mendaftarkan Brendan yang pernah bermain dengan Sabah selaku awang import pada musim 2012 tampak berbaloi dengan sumbangan singkat pemain berkenaan.


CURI MATA

Bertandang ke Kuala Terengganu dengan skuad tempang tetapi masih mampu meraih mencuri satu mata merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan buat pasukan kendalian Steve Darby itu.

Ini berikutan, Terengganu yang memimpin carta liga ketika itu berada di kemuncak prestasi mereka tetapi Kelantan mempamerkan aksi bertenaga apabila mendahului Sang Penyu menerusi Mohamed Shawky Aly sebelum disamakan Zairo Anuar Zalani.

Ironinya, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga apabila Kelantan menguasai awal babak pertama namun skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim bingkas memberi saingan pada babak seterusnya terutama dengan kemasukkan Mohamad Ashari Samsudin dan Mamadou Hady Barry.


TAMBAH DERITA

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya pasukan yang cukup bermasalah ketika ini. Tanpa kelibat Amirridzwan Taj Tajudin dan K Reuben Thayaparan yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut, ditambah ketiadaan Christie Jayaseelan akibat penggantungan perlawanan pasti merencatkan perancangan jurulatih, B Satiananthan.

Lebih parah, tanpa Marlon Alex James dan Spase Dilevski yang turut dibelenggu kecederaan, apa lagi yang boleh dilakukan ATM di Kota Bharu biar pun Kelantan juga kehilangan sentuhan Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali pada perlawanan ini.

Seharusnya, Kelantan yang baru pulang dari Vietnam selepas berdepan XM Vissai Ninh Binh dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mampu menambahkan derita buat ATM dengan bermain mati-matian kerana ini merupakan peluang terbaik untuk menutup pusingan pertama dengan nota kemenangan.


--- SINAR HARIAN

Monday, March 31, 2014

Wan Zack tidak sabar sarung jersi TRW

 
Wan Zack Haikal Wan Nor
 
 
PEMAIN yang beraksi bersama kelab Rukyu FC, Wan Zack Haikal tidak sabar lagi untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) selepas mengesahkan penyertaannya bersama pasukan Kelantan itu hari ini.

Pemain berusia 23 tahun ini kini berada pada fasa terakhir proses pemulihan kecederaan 'anterior cruciate ligament' yang dialaminya Oktober tahun lepas.

"Saya sudah bersedia untuk beraksi bersama pasukan Kelantan. Bagaimanapun, saya diberi kebebasan sehingga betul-betul pulih sepenuhnya baru boleh beraksi dalam perlawanan Liga Malaysia bersama TRW," katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan tiga pemain tempatan baharu yang menyertai TRW ketika pintu kedua pendaftaran pemain dibuka mulai hari ini.
 
Pemain sayap ini dijangka dapat beraksi paling awal pada bulan Jun dan paling lewat pada bulan Ogos selepas kecederaannya pulih sepenuhnya.

Pengumuman penyertaan pemain baharu TRW dibuat Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.
 
Selain Wan Zack, dua lagi pemain merupakan pemain pertahanan kebangsaan Fitri Omar yang mewakili pasukan ATM dan Brendan Gan, bekas pemain Sydney FC di Liga Australia.

Annuar berkata ketiga-tiga pemain baharu ini melalui proses yang unik sebelum mengikat perjanjian kontrak selama tiga tahun untuk memperkukuhkan pasukan gergasi pantai timur itu.

"Proses ini adalah perpindahan kelab antarabangsa yang biasa (berlaku) dan pemain boleh buat pilihan sendiri. Wan Zack telah memilih untuk beraksi bersama TRW dan ini adalah perjalanan biasa bagi pemain profesional.
 
"Langkah ini tidak bermakna ia proses balik ke belakang," katanya yang mengakui hasrat 'meminang' Wan Zack Haikal dari kelab Jepun itu melalui proses rundingan agak lama.
 
  Annuar juga berkata pasukan Kelantan tidak akan memaksa Wan Zack untuk beraksi dengan Kelantan selagi beliau tidak pulih sepenuhnya sebaliknya akan memastikan pemain muda itu mendapat rawatan dan terapi terbaik untuk pulih sepenuhnya.

Selain Wan Zack Haikal, Brendan juga melalui proses unik selepas memperoleh taraf kerakyatan Malaysia dan didaftar semula selepas permohonan Kelantan untuk mendaftarkannya atas kuota pemain tempatan ditolak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Disember lepas manakala Fitri pula menyertai Kelantan setelah bersetuju menamatkan kontrak bersama ATM.

Annuar berkata pemilihan Brendan adalah berdasarkan prestasi memberangsangkan ketika mewakili pasukan Sydney FC yang muncul juara sebanyak dua kali Liga Australia pada 2011.

Manakala Fitri pula pernah dipinjamkan untuk beraksi bersama Kelantan pada saingan Piala Malaysia sebanyak enam kali dan juga penjaring terbanyak Liga Perdana 2011.

Sementara itu Rukyu FC dalam satu kenyataan berkata ia merupakan keputusan yang sangat sukar untuk membenarkan Wan Zack Haikal berpindah ke Malaysia kerana beliau merupakan pemain yang baik dan disukai Rukyu FC.

"Kami telah mengkaji keadaan dan merasa bahawa kami perlu melakukannya demi masa depannya dan beliau perlu berada di persekitaran yang selesa untuk pulih dan kembali lebih kuat daripada apa yang telah kami kenali Wan Zack Haikal," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, yuran perpindahan pemain itu bukan yang paling tinggi diterima kelab tersebut. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Tiga bintang perkasa Kelantan



 Brendan (kiri), Wan Zack dan Mohd Fitri (kanan) menyertai pasukan Kelantan ketika sidang media yang diumumkan oleh Penasihat Kafa, Annuar Musa, semalam. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
KELANTAN terus memperkasakan pasukan apabila mengesahkan tiga pemain baharu , Wan Zack Haikal Wan Noor, Brendan Gan dan Mohd Fitri Omar sah menjadi milik mereka bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kehadiran mereka yang didaftarkan ketika jendela perpindahan kedua bermula 23 Mac hingga 22 April depan pastinya mampu meletakkan The Red Warriors (TRW) di landasan terbaik mencabar kejuaraan.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, ketiga pemain ini mengikat kontrak bersama TRW selama tiga tahun dan kehadiran mereka pastinya bakal memberi impak buat pasukan.

“Brendan kita sedia maklum sebelum ini cuba didaftarkan sebagai pemain tempatan awal musim namun tidak berjaya atas beberapa faktor namun, kali ini segala perkara berkaitan dokumen berkaitan pendaftaran diuruskan Kafa.

“Begitu juga Wan Zack Haikal yang kita ketahui merupakan bekas pemain kelab terkemuka dari Jepun , Ryukyu FC juga menjadi milik kita mengikut peraturan sah dan telah ditetapkan tanpa membelakangi sebarang peraturan semasa sedia ada.

“Bagi Mohd  Fitri pula, pemain ini sememangnya menjadi sasaran kita pada awal musim namun tidak kesampaian atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan, tapi kali ini usaha kita berjaya dengan kerjasama penuh bekas majikannya (ATM).

“Kemasukan mereka semua ini adalah atas keinginan sendiri dan inilah yang membanggakan kita mereka hadir dengan semangat juang tinggi bagi memastikan Kelantan terus digeruni pasukan lain, “ katanya pada majlis memperkenalkan pemain baharu di Medan Mara, semalam.

Jelasnya, pada dasarnya ketiga pemain ini boleh beraksi pada pertemuan malam ini menentang Johor Darul Tak’zim (JDT) namun bergantung kepada pengurusan dan jurulatih untuk menentukannya.


--- SINAR HARIAN

Monday, March 10, 2014

Brendan Gan sah milik Kelantan


 
 
PENANTIAN pemain kelahiran Australia, Brendan Gan untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) sejak tiga bulan lalu akhirnya tercapai apabila beliau disahkan mendapat taraf kerakyatan negara ini, semalam.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyampaikan khabar gembira buat penyokong gergasi pantai timur itu menerusi entri yang dipetik di laman sosial Facebook miliknya, semalam.

“Tahniah Brendan Gan, beliau menerima kad pengenalan Malaysia hari ini (semalam) secara rasminya. Beliau akan memulakan latihan bersama skuad The Red Warriors minggu depan,” katanya.

Kehadiran Brendan Gan sekali gus melengkapkan senarai rasmi 26 pemain TRW bagi saingan Liga Malaysia musim ini dan difahamkan beliau akan memakai jersi nombor 9 untuk pasukannya.

Kafa sebelum itu pernah mendaftarkan penyerang yang memulakan karier di Australia dengan mewakili kelab Marton Hammer pada Disember tahun lalu selaku pemain tempatan, namun permohonan tersebut ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia berikutan peraturan badan induk bola sepak kebangsaan itu menetapkan mana-mana pemain yang hendak didaftarkan selaku pemain tempatan mestilah mempunyai kad pengenalan atau pasport Malaysia.

Apa pun, kehadiran Brendan Gan pasti melegakan pengendali Kelantan, Steve Darby yang kini mempunyai variasi untuk menyenaraikan pemain berusia 26 tahun itu sama ada di posisi tengah atau serangan pasukannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim mengesahkan bekas penyerang import Sabah musim 2012 itu akan didaftarkan bersama Kelantan apabila pintu pendaftaran kedua pemain tempatan dibuka pada 23 Mac ini.

“Kafa kini sedang meneliti kriteria pendaftaran pemain seperti ditetapkan oleh FAM. Kita harap proses pendaftaran itu nanti berjalan lancar dan jika tidak ada aral melintang,

Brendan Gan akan buat penampilan sulungnya bersama Kelantan selewat-lewatnya April depan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


--- SINAR HARIAN

Monday, December 23, 2013

Brendan Gan tidak layak

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) boleh melupakan terus hasrat untuk melihat bekas pemain Sydney FC, Brendan Gan menyarung jersi The Red Warriors selaku pemain tempatan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Pengerusi jawatankuasa Status, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, badan induk itu menolak permohonan Kafa bagi mendaftarkan Brendan sebagai pemain tempatan kerana lebih memilih taraf kewarganegaraan seseorang pemain berbanding taraf kerakyatan.

“Dalam isu Brendan Gan, kami memutuskan dia tidak boleh didaftar sebagai pemain tempatan. Dia hanya layak di daftarkan sebagai pemain import.

"Jika Kafa mahu guna khidmat Brendan, maka mereka perlu daftar dia sebagai pemain import," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Jelas Takiyuddin lagi, walaupun benar adanya peruntukan dalam peraturan Statut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membolehkannya bermain, namun FAM berpendirian status taraf kewarganegaraan menjadi syarat utama.

“Brendan lahir di Australia, jadi kewarga-negaraannya di sana bukan di sini (Malaysia). Jadi kami memutuskan permohonan Kafa terpaksa ditolak.

“Kesemua persatuan  masih mempunyai masa sehingga 17 Disember ini untuk merombak kembali barisan pemain mereka sebelum didaftarkan kepada FAM,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya situasi melibatkan Syed Adney Syed Hussein (lahir di Liverpool membesar di Malaysia) dan Junior Eldstal (lahir di Kota Kinabalu membesar di England) Takiyuddin menjawab: “Mungkin selepas ini FAM perlu mengkaji
semula isu berkaitan ini. Apa pun itu tidak bermakna FAM bercanggah daripada Fifa."

Hasil daripada keputusan muktamad FAM itu, kini timbul persoalan bagaimana pula pemain seperti Syed Adney dan Junior mampu beraksi di liga tempatan atas tiket pemain tempatan.

Sebelum itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, tampil mengumumkan telah mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain Liga Australia (Liga A) berketurunan Malaysia, Brendan Gan.

Memandangkan kini empat kouta import bagi pasukan Kelantan telah diisi, mungkin harapan Brendan untuk beraksi buat pasukan TRW hanya tinggal mimpi.
 
 
- -- SINAR HARIAN

Monday, December 9, 2013

Amar sahut cabaran

Saturday, November 30, 2013

Brendan sedia lepaskan kerakyatan Australia


Brendan Gan  
Brendan Gan
BRENDAN Gan sedia melepaskan taraf kerakyatan Australia demi mewakili Kelantan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Buat masa ini, status Brendan kekal menjadi persoalan kerana Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah melengkapkan kuota empat pemain import.

Untuk saingan 2014, import The Red Warriors dibarisi Forkey Doe, Mohamed Shawky, Mohammed Ghaddar serta Obinna Nwaneri yang tampil selaku Penolong Ketua Pasukan 2.

Mempunyai bapa yang merupakan rakyat Malaysia, menjadi asas buat Kafa mendaftar Brendan sebagai pemain tempatan. Begitu pun, taraf kerakyatan Australia dimilikinya tidak memberi Brendan pengiktirafan berkenaan.

Untuk rekod, menurut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Brendan berhak memilih untuk mewakili negara kelahiran bapanya, tambahan pula dia belum pernah mewakili skuad kebangsaan Australia sebelum ini.

Ketika mewakili pasukan Sabah dua musim lalu, Brendan didaftarkan sebagai pemain import lantas dia mengambil inisiatif sendiri untuk memohon pasport bagi mendapat kerakyatan Malaysia.

"Saya belum mempunyai butiran jelas mengenainya tetapi saya masih cuba untuk jadi pemain tempatan, terpulang kepada Kafa serta FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk membenarkannya.

"Saya amat gembira menyertai Kelantan dan bermain sekali lagi di Malaysia, ia pengalaman yang baik," katanya pada majlis memperkenalkan skuad TRW 2014 di ibu negara, kelmarin.

Pemain berusia 25 tahun itu juga tidak menolak kemungkinan untuk mewakili skuad senior kebangsaan andai permohonannya menjadi kenyataan.

Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika diajukan soalan mengenai status Brendan, menjawab: "Kita telah buat permintaan rasmi kepada FAM dan badan induk itu pula nak merujuk kepada AFC, kita tiada masalah mengenainya. Pada masa sama, Brendan telah pun bersetuju untuk memohon pasport Malaysia secara rasmi".

--- SINAR HARIAN