KELANTAN terus memperkasakan pasukan apabila mengesahkan tiga pemain baharu , Wan Zack Haikal Wan Noor, Brendan Gan dan Mohd Fitri Omar sah menjadi milik mereka bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kehadiran mereka yang didaftarkan ketika jendela perpindahan kedua bermula 23 Mac hingga 22 April depan pastinya mampu meletakkan The Red Warriors (TRW) di landasan terbaik mencabar kejuaraan.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, ketiga pemain ini mengikat kontrak bersama TRW selama tiga tahun dan kehadiran mereka pastinya bakal memberi impak buat pasukan.

“Brendan kita sedia maklum sebelum ini cuba didaftarkan sebagai pemain tempatan awal musim namun tidak berjaya atas beberapa faktor namun, kali ini segala perkara berkaitan dokumen berkaitan pendaftaran diuruskan Kafa.

“Begitu juga Wan Zack Haikal yang kita ketahui merupakan bekas pemain kelab terkemuka dari Jepun , Ryukyu FC juga menjadi milik kita mengikut peraturan sah dan telah ditetapkan tanpa membelakangi sebarang peraturan semasa sedia ada.

“Bagi Mohd  Fitri pula, pemain ini sememangnya menjadi sasaran kita pada awal musim namun tidak kesampaian atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan, tapi kali ini usaha kita berjaya dengan kerjasama penuh bekas majikannya (ATM).

“Kemasukan mereka semua ini adalah atas keinginan sendiri dan inilah yang membanggakan kita mereka hadir dengan semangat juang tinggi bagi memastikan Kelantan terus digeruni pasukan lain, “ katanya pada majlis memperkenalkan pemain baharu di Medan Mara, semalam.

Jelasnya, pada dasarnya ketiga pemain ini boleh beraksi pada pertemuan malam ini menentang Johor Darul Tak’zim (JDT) namun bergantung kepada pengurusan dan jurulatih untuk menentukannya.


--- SINAR HARIAN