SELEPAS polemik melibatkan isu kejurulatihan selesai, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini mengalih tumpuan dengan memperkemaskan The Red Warriors (TRW)  bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sumber dalaman mendedahkan, pihak Kafa bercadang membawa masuk dua awang import baharu bagi memperkuatkan skuad pantai timur itu apabila jendela pendaftaran kedua pemain import dan tempatan dibuka April ini.

“Pihak pengurusan tampak kurang berpuas hati dengan sumbangan dua pemain import berkenaan sepanjang lima perlawanan dan dua aksi dalam saingan Liga Super serta kempen Piala FA setakat ini.

“Rombakan ini kemungkinan besar melibatkan dua posisi penting berikutan pemain import berkenaan dilihat kurang efektif, selain gagal mencetuskan impak lebih berkesan terhadap pasukan Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kehadiran Gonzalo Bonafina dan Federico Fioramonti, kedua-dua dari Argentina, selain Adjai Moussa (Benin) dan Rasheed (Nigeria) sempena aksi persahabatan, Kelantan menentang Songkhla FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini, seolah-olah memberi isyarat bahawa Kafa kini bersedia menukar dua awang import mereka.

Menurut sumber itu lagi, tindakan drastik itu terpaksa dilakukan bagi memastikan misi Kelantan memburu sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada saingan Liga-M musim ini tidak tersasar.

“Tonggak import baharu ini akan diuji pada aksi persahabatan malam esok (ini) tetapi keputusan sama ada Kafa bersedia atau tidak untuk mengikat pemain berkenaan banyak bergantung pada persembahan mereka,” katanya.

Musim ini Kelantan diperkuatkan dengan empat tonggak import iaitu bekas pemain kebangsaan Australia, Jonathan McKain, Erwin Carrillo (Colombia), Emmanuel Kenmogne (Cameroon) dan Isaac Pupo (Liberia).


--- SINAR HARIAN