IPOH 4 Jan. - Ketika rakan-rakan barunya saling
bertegur sapa dan bergurau-senda, Aril Putra Indra Putra, 7, hanya
mendiamkan diri dan sekadar memerhatikan gelagat kawan baru di
sekelilingnya.
Namun apabila didekati, anak kepada bekas pemain tengah skuad bola
sepak Perak, Indra Putra Mahayuddin, 29, rupa-rupanya begitu petah
berbicara.
Walaupun tidak ditemani bapa yang kini beraksi dengan skuad bola
sepak Kelantan, namun kanak-kanak itu yang dihantar ibunya, Nurliatun
Murni Zainal Abidin, 30, kelihatan bersahaja dan tersenyum.
Meskipun ibunya pulang selepas Aril Putra memasuki kelas, namun dia
tidak gentar memulakan sesi baru persekolahan sebaliknya tidak sabar
berjumpa dengan kawan baru.
''Emak dan abah pesan supaya jangan menangis dan belajar rajin-rajin. Saya akan ikut pesanan mereka.
''Lagipun di sekolah seronok, saya dapat berjumpa kawan-kawan baru dan belajar perkara baru," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue di sini hari ini.
Malah, dia yang ditempatkan di kelas Satu Kuning begitu teruja
apabila guru sekolahnya memberikan cecair pembasmi kuman untuk mencuci
tangan sebelum masuk ke kelas.
Selain Aril Putra, kepetahan murid India, S. Vikneshmurugan, 7, yang fasih berbahasa Mandarin turut mencuri tumpuan.
Ketika ada segelintir rakan sekelasnya hanya duduk diam di dalam
kelas, murid lincah ini ceria menyapa dan berbual dengan seorang rakan
berbangsa Cina.
Jelas Vikneshmurugan, dia mula belajar bahasa Mandarin ketika berumur empat tahun kerana minat bapanya terhadap pelbagai bahasa.
Murid itu juga boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lancar.