Wednesday, January 6, 2010

Hantar ke kelab sesuai - Akmal


AKMAL menyarung jersi kelab Perancis, Strasbourg pada 1999 ketika berusia 19 tahun.


HASRAT Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menghantar pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke kelab-kelab luar negara perlu diperjelas dengan betul.
Jika mereka sekadar diserapkan bagi menjalani latihan untuk tempoh yang singkat, ia dianggap tidak berbaloi.

Tiga pemain yang pernah merasai pengalaman beraksi dalam saingan liga luar negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rudie Ramli dan Fadzli Saari sempat berkongsi pandangan masing-masing ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi Akmal, 29, yang kini beraksi bersama Kelantan, cadangan Shabery itu dianggap baik tetapi biarlah pemain- pemain itu dihantar ke kelab yang sesuai dan berlatih dalam tempoh jangka panjang.

"Kalau menteri maksudkan untuk hantar bermain bersama kelab luar, ia satu cadangan yang baik dan pemain- pemain ini perlu mengambil peluang yang diberi ini sepenuhnya.

"Tetapi kalau nak hantar untuk lati- han selama tiga atau enam bulan saja, itu tak bagus kerana umur mereka ini sudah 22 dan 23 tahun. Program latihan sesuai untuk pemain remaja saja," kata Akmal.

Akmal berhijrah ke kelab Perancis, Strasbourg pada 1999 ketika berusia 19 tahun bersama Juzaili Samion yang kini mewakili Felda United.
Bagi Rudie, 28, pula yang kini beraksi bersama Selangor, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum sesatu keputusan berhubung penghantaran pemain B-23 negara ke kelab luar dilaksanakan.

"Kalau boleh, cari kelab yang betul- betul dapat memberi ruang kepada pemain-pemain ini beraksi. Tetapi bagi saya, umur 23 tahun ini tak sesuai, lebih baik hantar pemain-pemain Harimau Muda yang usia mereka dalam lingku- ngan 21 tahun ke bawah.

"Mungkin juga boleh dipertimbangkan kelab-kelab Asia seperti di Jepun atau Korea Selatan, itu saya rasa lebih sesuai. Jika di Eropah, banyak halangan seperti masalah cuaca," katanya.

Rudie dihantar berlatih selama sebulan ke Bayern Munich ketika berusia 17 tahun pada 1999 dan setahun kemu- dian, dia beraksi sepenuhnya selama se- musim bersama satu lagi kelab Jerman, SV Wehen.

Fadzli, 27, yang kini bersama KL Plus berpendapat, cadangan Shabery itu baik tetapi perlu dibincangkan lebih mendalam terlebih dahulu dengan para pemain skuad B-23 negara.

"Apa yang penting, mentaliti pemain itu sendiri. Kalau hati dan fikiran mereka masih di Malaysia, tak guna kita hantar mereka ke kelab luar. Lagipun ada pemain yang sudah berkahwin dan sebagainya.

"Patut hantar saja pemain B-21 atau B-19 kerana mentaliti mereka lebih bersemangat. Tetapi kalau boleh, hantar untuk tempoh setahun sekurang-kurangnya. Kalau untuk dua atau tiga bulan, tiada apa-apa hasil," katanya.

Fadzli turut menyertai Rudie beraksi di SV Wehen pada tahun 2001 ketika dia baru berusia 18 tahun.