Thursday, December 6, 2012

Zairo anggap isu sudah selesai

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
sukan@hmetro.com.my


BEKAS penyerang T-Team, Zairo Anuar Zailani menganggap isu perpindahannya ke Kelantan selesai apabila kontrak bersama T-Team tamat pada 30 November lalu.

Sebelum ini, T-Team mendakwa Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak beretika dalam usaha mendapatkan Zairo dan seorang lagi pemain, Mohd Faiz Subri yang dikatakan masih mempunyai kontrak sehingga November.

Zairo berkata, dia tidak mahu isu perpindahannya dibangkitkan lagi kerana mahu memberi tumpuan membantu Red Warriors musim depan.
“Kalau diikutkan saya sudah bebas daripada T-Team kerana kontrak tamat 30 November lalu. Justeru, saya hanya akan fokus dengan pasukan baru.

“Saya sudah sah bersama Kelantan dan akan berkhidmat selagi diperlukan, malah akan cuba mempamer aksi terbaik selepas mendapat peluang beraksi dalam pasukan juara tiga piala ini,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu.

Zairo antara pemain yang tersenarai sebagai penjaring terbanyak pada saingan Liga Super musim lalu dan dijangka tiada masalah mendapatkan keserasian bergandingan dengan Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad yang pernah bersamanya dalam T-Team pada 2011.
Menurutnya, peluang bermain bersama Kelantan bakal memberi pengalaman baru kerana sekali lagi bersaing dalam Piala AFC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06 

--- HARIAN METRO