Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
sukan@hmetro.com
PEMAIN pertahanan Kelantan, S Subramaniam terpaksa melupakan seketika
hasrat bersama The Red Warriors pada permulaan musim Liga Malaysia 2013
kerana perlu berehat kira-kira enam hingga tujuh bulan akibat
kecederaan lutut.
Subramaniam yang mengalami kecederaan itu ketika menentang ATM di
final Piala Malaysia, Oktober lalu berkata, walaupun sudah melakukan
pembedahan 1 Disember lalu, kecederaan lututnya memerlukan masa untuk
pulih sepenuhnya.
Katanya, dia kecewa kerana tidak dapat membantu Kelantan untuk tempoh panjang namun yakin pasukan yang merangkul tiga kejuaraan itu mampu mempertahankan semua piala dimenangi.
“Sungguh kecewa kerana terpaksa berehat begitu panjang. Bagaimanapun
saya yakin kami mampu mempertahankan tiga piala dimenangi musim lalu,”
katanya.
Menurutnya, biarpun tidak berpeluang turun berlatih, dia tetap gembira dengan perkembangan terkini pasukan apabila mengetahui pemain baru yang menyertai gergasi Pantai Timur itu mula menunjukkan kehebatan masing-masing.
“Meskipun tidak dapat berlatih, saya diberitahu yang pemain baru beraksi cemerlang bagi membantu Kelantan menghadapi saingan musim depan.”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18
--- HARIAN METRO