KUALA LUMPUR - Bukan mahu mendedahkan pekung sendiri, namun memang
jelas Harimau Malaya buat masa ini kekurangan pemain tengah yang kreatif
dan berwibawa untuk mampu bertindak sebagai perancang dalam pasukan.
Hakikat itu ditimbulkan oleh bekas pemain bola sepak negara yang
juga penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir berkata, hanya
beberapa pemain di negara ini mampu mengisi peranan tersebut seperti
Mohd. Norfarhan Muhammad dan Mohd. Nazmi Faiz.
Menurutnya, jika mahu melakukan sebarang rombakan menjelang
kelayakan Piala Asia 2015, kedua-dua pemain ini perlu diberikan peluang
kerana mereka mampu menjana kekuatan di bahagian tengah.
Pada pandangan saya, Norfarhan wajar dipanggil oleh jurulatih Datuk
K. Rajagobal kerana dia mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak ada
kepada pemain lain.
Dia seorang pemain yang kreatif semasa melakukan gerakan dan ada
visi apabila melakukan umpanan kepada rakan sepasukan, jadi dia ada
kualiti selaku perancang yang jarang ada kepada pemain lain.
Saya rasa jika dia digandingkan di bahagian tengah bersama Shakir
Shaari pasti persembahan Harimau Malaya lebih menarik untuk disaksikan.
Nazmi Faiz juga perlu dipanggil dalam skuad bagi menghadapi
kelayakan Piala Asia 2015 walaupun masih muda tetapi dia ada karisma
tersendiri," katanya yang dihubungi, semalam.
Selain itu, Hasnizam mencadangkan Ashaari Samsudin yang merupakan anggota skuad Piala Suzuki AFF 2012 juga perlu disenaraikan
kembali kerana dia jelas lebih berkualiti berbanding seorang lagi pemain
sayap kiri, S. Kunanlan.
Ashaari bukan sahaja mempunyai skil menggelecek yang bagus namun
hantaran bola silangnya dari sebelah kiri cukup menarik untuk disaksikan
malahan sering sampai kepada rakan sepasukan yang menunggu di depan
pintu gol.
Jika kita diperhatikan kepada Kunanlan, dia memang ada aset
kepantasan apabila melakukan larian, namun bila diperhatikan pada setiap
perlawanan, tidak banyak hantaran silang berkualiti dapat dilakukan ke
dalam kotak penalti," katanya.
Tambah Hasnizam, jentera serangan negara sebenarnya tidak mempunyai
sebarang masalah dan masih yakin dengan kemampuan Norshahrul Idlan
Talaha dan Safee Sali.
Mereka berdua masih dua penyerang terbaik yang kita ada buat masa
ini cuma semasa Piala Suzuki AFF, kegagalan bahagian tengah menjadi
punca mengapa kita tidak mampu beraksi dengan baik.
Safee bukan seorang penyerang yang mampu turun ke bawah selalu
kerana tugasnya selaku penyudah lebih efisien jika dibiarkan selalu
dalam kotak penalti sementara Norshahrul bertindak sebagai penyerang
sokongan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Reduan
Abdullah, berpendapat beberapa orang lama seperti Indra Putra
Mahayuddin, Mohd. Badri Radzi dan Hairuddin Omar perlu dipanggil semula
memperkuatkan Harimau Malaya.
Pemain-pemain ini mampu memberikan banyak pilihan kepada jurulatih
sama ada di bahagian serangan atau tengah jika diketengahkan dalam
pasukan .
Jika kita lihat pemain-pemain yang dipilih Rajagobal baru-baru ini,
apabila berlaku kecederaan pemain utama seperti Shakir Shaari, barisan
simpanan yang ada dilihat tidak begitu menyerlah.
Safiq Rahim juga didapati tidak begitu menyerlah dan kehadirannya dalam pasukan juga perlu dinilai kembali," katanya.
Skuad kendalian Rajagobal bakal membuka tirai kelayakan Piala Asia
2015 Kumpulan D dengan menentang Qatar di Doha pada 6 Februari depan
sebelum beraksi di laman sendiri bertemu Yemen, 22 Mac.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121221/su_01/Panggil-balik-pemain-bintang#ixzz2G1U1i5nC
© Utusan Melayu (M) Bhd