Sunday, December 23, 2012

Pertratos, Kcira beri impak besar TRW

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
22 Disember 2012 

  Kehadiran Pertratos pelbagaikan jentera serangan Kelantan.
 
NAMA dua pemain import terbaharu The Red Warriors, Dimitrios Pertratos dan Lek Kcira kini mula meniti di bibir dalam kalangan penyokong setia mereka.

Kehadiran Pertratos, pemain yang mendapat jolokan ‘David Villa’ kerana wajahnya mirip penyerang Sepanyol dan Barcelona itu ternyata memberi impak yang cukup besar di bahagian jentera serangan Kelantan.

Malah aksi pertama beliau, yang menjaringkan satu gol meski pun diturunkan hanya 30 minit ketika Kelantan membelasah Perlis 5-0 dan Kedah 4-1 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini ternyata menarik perhatian hampir 25,000 penyokong setia memenuhi Stadium Sultan Muhammad IV.

Tidak pernah lagi dalam sejarah aksi bertaraf persahabatan di Kota Bharu, stadium berusia 46 tahun itu dibanjiri sebegitu ramai penyokong setia semata-mata mahu melihat permata baharu import Kelantan.

MUDA DAN LINCAH

Pertratos, penyerang daripada kelab Sydney FC mempunyai pakej yang begitu lengkap selaku penggempur berbisa Kelantan meski pun hanya berketinggian 1.76 meter sahaja.

Beliau bukan sahaja lincah, bertenaga dan mempunyai kemahiran individu yang tinggi malah bernafsu besar untuk merobek gawang pasukan lawan. Itulah perwatakan sebenar pemain berusia 20 tahun yang berasal Australia.

Tidak syak lagi, beliau menjadi calon paling tepat bagi menggantikan penjaring terbanyak Liga Super Kelantan musim lalu, Mohamad Ghaddar berbanding seorang lagi penyerang yang dimiliki Kelantan ketika ini, Keita Mandjou.

Namun persembahan mantap kedua-dua pemain ini dalam beberapa siri perlawanan persahabatan memberi sedikit kesukaran pengurusan Kafa untuk memilih pemain di bahagian serangan.

AGRESIF DAN BERTENAGA

Kcira menjadi pesaing terbaharu buat Obinna Nwaneri di benteng pertahanan Kelantan. Pemain kelahiran Croatia itu nyata cepat menyesuaikan diri dengan corak persembahan The Red Warriors.

Pemain berusia 29 tahun yang pernah beraksi dengan kelab Shahin Bushehr FC dalam Liga Iran tampak lebih agresif dan bertenaga memimpin pertahanan Kelantan. Ketenangan beliau mengemudi benteng kebal menjadi perangsang kepada rakan sepasukan lain di posisi tersebut.

Dengan ketinggian 1.86 meter, pemain yang gemar beraksi di posisi bek tengah itu menjadi tunjang kekuatan terbaharu Kelantan terutamanya mengharungi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.

--- SINAR HARIAN