ARKIB : 13/07/1998
PERSATUAN Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA) yakin dapat menurunkan penjaga gol Halim Napi yang telah tamat tempoh penggantungan untuk beraksi dalam skuad utama negeri itu pada baki tiga perlawanan Liga Perdana Dua.
Pengurus pasukan Kelantan, Suhaidi Yusuff berkata, Halim yang menamatkan penggantungan 14 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia baru-baru ini, menunjukkan aksi cemerlang dalam penampilan sulungnya musim ini menentang NS Chempaka Jumaat lepas.
Kelantan menang 2-0 pada perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu.
''Pengalaman dan kecemerlangan Halim tidak dapat dinafikan dan saya mengesahkan akan menggunakan khidmatnya untuk membantu Kelantan menghabiskan baki perlawanan Liga Perdana Dua,'' katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Halim berpeluang beraksi semula setelah dua penjaga gol Kelantan iaitu Azuan Othman dan Wan Kamarulzaman Mohamad mengalami kecederaan dan terpaksa direhatkan.
Sebelum ini KAFA menetapkan syarat supaya Halim mengurangkan berat badannya dan meningkatkan tahap kecergasan serta memastikan tidak mengulangi kesalahan yang lepas, khususnya bergaduh hingga menyebabkannya digantung sebelum ini.
Suhaidi berkata, skuad Kijang yang kini menduduki tangga kedua di belakang Terengganu, mempunyai harapan cerah untuk mara ke Piala Malaysia dan berharap para pemain dapat mengekalkan prestasi masing-masing bagi memenangi baki perlawanan.
Sementara itu, Halim ketika ditemui berkata, ujian pertamanya Jumaat lepas berjaya dilepasi dengan baik dan berharap untuk mengekalkan tahap persembahannya dalam perlawanan seterusnya.
''Saya akan lakukan yang terbaik untuk membalas budi pihak pengurusan yang begitu prihatin terhadap masalah saya semasa saya digantung tempoh hari,'' katanya. - Bernama.
--- UTUSAN MALAYSIA