Saturday, April 11, 1998

Kelantan memanfaatkan bermain di tempat sendiri

ARKIB : 10/04/1998

KELANTAN akan memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri malam ini ketika menentang Johor FC untuk memastikan mata penuh menjadi milik Skuad Kijang, lapor ISMAIL MUHAMAD.

Dengan menjanjikan persembahan terbaik di hadapan penonton sendiri, Kelantan tidak mahu mensia-siakan peluang di depan mata sebaliknya menjadikan Johor FC sebagai mangsa pertama siri Liga Perdana Dua malam ini.

Kemenangan malam ini akan menentukan langkah menyakinkan bagi Skuad Kijang yang masih terluka ekoran gagal melangkah ke Perdana Satu apabila dikecewakan oleh Pulau Pinang dengan aggregat 4-3.

Biarpun gagal melangkah ke Perdana Satu namun Pengurus Skuad Kijang, Suhaidi Yusof menaruh harapan Kelantan akan melompat lebih jauh iaitu menempatkan diri ke Piala Malaysia.

Atas percaturan itu kata Suhaidi, Kelantan akan memberi tentangan terbaik dalam Liga Perdana Dua bagi memastikan tempat ke Piala Malaysia menjadi kenyataan.

''Langkah pertama Kelantan ialah memastikan kemenangan ke atas Johor FC dalam pertemuan sulung Liga Perdana Dua di Kota Bharu malam esok (malam ini) menjadi kenyataan,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kota Bharu, semalam.

Perlawanan menentang Johor FC bagi Suhaidi adalah peluang hidup mati bagi Kelantan kerana ia akan menentukan sentuhan pemain-pemain melangkah lebih jauh dalam Perdana Dua musim ini.

Beliau berkata, Johor FC dianggap pasukan hebat kerana ia turut dibarisi pemain import dan merupakan antara pasukan dari selatan selain Johor yang turut disenarai dalam Liga Perdana Dua.
Bagi Suhaidi, perlawanan malam ini adalah penting dan beliau telah memastikan pemain-pemain bekerja keras menghadapi Johor FC.

''Walaupun Kelantan turun tanpa perancang utama, Mario Gomez yang masih dilanda kecederaan, namun saya optimis pemain seperti Zahasmi Ismail di samping Ghafor Mohamad dan Tuan Kamree Tuan Yahya dapat merancang permainan bertenaga,'' katanya.

Suhaidi juga yakin dengan gadingan mantap Hashim Mustapha, Luis Pablo Puzzuto, Wan Rohaimi Wan Ismail dan Badrisan Abdul Kadir dapat menembusi gawang lawan bagi memastikan mata penuh menjadi milik Skuad Kijang.

Mengenai bekas penyerang Skuad Olimpik, Nafuzi Mohd. Zain bersama Kelantan, Suhaidi mengakui kehadiran penyerang berusia 20 tahun ini mampu menguatkan benteng serangan Skuad Kijang.

Bagaimanapun beliau memberitahu, Nafuzi kemungkinan tidak akan diturun bagi perlawanan menentang Johor FC malam ini kerana ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

''Saya perlu tengok dulu keupayaan Nafuzi melalui beberapa siri latihan bagi mencari kesesuaian dan keserasian untuk digandingkan bersama Hashim Mustapha, Wan Rohaimi dan Luis Puzzuto,'' katanya.

Ketika beraksi pada Kejohanan Piala Dunia Belia tahun lalu, Nafuzi kerap mencuri perhatian menerusi kepakaran menyimpan bola dan pantas menyambar peluang.

--- UTUSAN MALAYSIA