Wednesday, January 14, 1998

Hashim ingin sertai semula Kelantan

PENYERANG Kedah yang berasal dari Kelantan, Hashim Mustapha berhasrat untuk kembali menyarung jersi skuad negeri kelahirannya bagi musim bola sepak Liga Malaysia akan datang.
Ketika ditemui di Kota Bharu, semalam, Hashim berkata, hasratnya itu telah disampaikannya kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud dalam pertemuan mereka dua minggu lepas. 

''Wan Hashim bersedia menerima saya kembali,'' katanya.
Ketika ditanya kenapa dia ingin kembali ke Kelantan, pemain itu berkata sehingga kini dia tidak tahu kedudukannya dalam skuad Kedah dan belum ditawarkan kontrak baru.
''Lagipun saya dah lama di Kedah, biarlah saya kembali berbakti di negeri kelahiran saya,'' katanya.
Hashim bermain untuk pasukan Kedah sejak 1996 dan tidak begitu menonjol permainannya berbanding ketika mewakili Kelantan sebelum itu. 

Ketika bersama pasukan Kedah beliau sering kali diturunkan sebagai pemain gantian. Dia juga tidak banyak menjaringkan gol ketika bersama Kedah.
Dia pernah dianugerahkan Kasut Emas pada 1994 dan 1995 kerana menjadi penjaring terbanyak ketika beraksi dalam skuad Kelantan. _ Bernama

--- UTUSAN MALAYSIA