PEMAIN The President Warriors bakal menerima habuan lumayan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) setelah berjaya merampas kejuaraan Piala Presiden daripada Perak, musim ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pemain dan pegawai pasukan Kelantan akan dibawa bercuti ke luar negara selain menerima bonus wang tunai.

“Berapa jumlahnya (bonus) itu akan dibincangkan kemudian. Mereka (pemain) telah bermain bersungguh-sungguh untuk menjuarai Piala Presiden musim ini. Saya ucap tahniah kepada pengurus pasukan dan jurulatih di atas kejayaan ini.

“Ini merupakan sebahagian daripada kegemilangan yang dikecapi bola sepak Kelantan selepas skuad senior mempertahankan kejuaraan Piala FA, Jun lalu. Kita harap ia disusuli pula dengan kejuaraan Piala Malaysia selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Pada perlawanan akhir, Kelantan tewaskan Perak 2-1 menerusi jaringan Muhamad Raim Azmi dan Mohamad Rozaimi Azwar Mat Nor sekali gus merampas kejuaraan dimenangi skuad Seladang, musim lalu.

Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan Kelantan ada ramai pemain pelapis yang berpotensi tinggi dan mampu diserap beraksi bersama skuad senior pada masa akan datang.

“Beberapa pemain dikenal pasti untuk menjalani latihan bersama skuad senior. Mereka harus diberi peluang tetapi kena menunjukkan peningkatan prestasi sebab saya lihat masih ada jurang di antara pemain senior dan pelapis,” katanya.

Usaha ketengahkan pemain cukup umur wajar diteruskan dan jika perlu Kafa bersedia ‘mengeksport’ bakat muda mereka untuk beraksi dengan dalam saingan Liga Premier.

--- SINAR HARIAN