Showing posts with label S. Subramaniam. Show all posts
Showing posts with label S. Subramaniam. Show all posts

Wednesday, December 19, 2012

Subramaniam tak beraksi tujuh bulan

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
sukan@hmetro.com

PEMAIN pertahanan Kelantan, S Subramaniam terpaksa melupakan seketika hasrat bersama The Red Warriors pada permulaan musim Liga Malaysia 2013 kerana perlu berehat kira-kira enam hingga tujuh bulan akibat kecederaan lutut.
Subramaniam yang mengalami kecederaan itu ketika menentang ATM di final Piala Malaysia, Oktober lalu berkata, walaupun sudah melakukan pembedahan 1 Disember lalu, kecederaan lututnya memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Katanya, dia kecewa kerana tidak dapat membantu Kelantan untuk tempoh panjang namun yakin pasukan yang merangkul tiga kejuaraan itu mampu mempertahankan semua piala dimenangi.
“Sungguh kecewa kerana terpaksa berehat begitu panjang. Bagaimanapun saya yakin kami mampu mempertahankan tiga piala dimenangi musim lalu,” katanya.

Menurutnya, biarpun tidak berpeluang turun berlatih, dia tetap gembira dengan perkembangan terkini pasukan apabila mengetahui pemain baru yang menyertai gergasi Pantai Timur itu mula menunjukkan kehebatan masing-masing.

“Meskipun tidak dapat berlatih, saya diberitahu yang pemain baru beraksi cemerlang bagi membantu Kelantan menghadapi saingan musim depan.”

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


--- HARIAN METRO

Sunday, October 28, 2012

Pemain Kelantan kuasai pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012


28 Oktober 2012
 Pemain Kelantan kuasai pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012
.
KUALA LUMPUR - Pemain dari pasukan Kelantan, yang merangkul gelaran trebel musim ini, menguasai senarai pendek calon untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena FAM 2012.
  
Pasukan Pantai Timur itu, yang meraihkan gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini, mempunyai pemain dalam kesemua lapan kategori pada majlis penyampaian anugerah pada Selasa ini di Shah Alam.
  
Acara tahunan itu, yang diiktiraf oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bertujuan mengiktiraf pencapaian pemain tempatan sepanjang musim ini, menurut kenyataan penaja bersama, F&N Beverages, di sini hari ini.
  
Penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat menghadapi saingan sengit daripada rakan sepasukan skuad negara dan pemain Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias serta Norazlan Razali dari Selangor.
  
Ketua pasukan Kelantan Mohd Badri Radzi pula bersaing hebat untuk merebut anugerah kategori pemain tengah terbaik serta pemain paling bernilai sepanjang musim.

Meskipun Kelantan mempunyai sebahagian besar pencalonan, namum juara Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut menerima beberapa pencalonan berikutan pencapaian cemerlang musim ini.
  
Pemain ATM Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Amirizwan Taj Tajudin akan bersaing dengan pemain Kelantan S. Subramaniam untuk anugerah pemain pertahanan terbaik manakala Rezal Zambery Yahya, yang menjaringkan gol cantik pada final Piala Malaysia, dipertimbangkan untuk anugerah pemain tengah terbaik.
  
Ketua jurulatih ATM B. Sathianathan turut menjadi pilihan untuk anugerah jurulatih terbaik manakala penyerang import ATM, Marlon Alex James bagi anugerah pemain asing terbaik yang baru diperkenalkan tahun ini.
  
Anugerah lain ialah persatuan terbaik, kelab dan kelab peminat terbaik.
  
'Berdasaran pencalonan, majlis anugerah tahun ini dijangka amat menarik. 

Pemain, pegawai dan khususnya jutaan pemain di negara ini tidak sabar untuk melihat keputusan nanti," kata pengurus hal ehwal korporat, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Cariessa Goh.

    SENARAI CALON ANUGERAH:
    ----------------------
  
    PENJAGA GOL TERBAIK:
    -------------------
    Mohd Farizal Marlias (Negeri Sembilan)
      Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
      Norazlan Razali (Selangor)
  
    PEMAIN PERTAHANAN TERBAIK:
    --------------------------
    S. Subramaniam (Kelantan)
      Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM)
      Amirizwan Taj Tajudin (ATM)
  
    PEMAIN TENGAH TERBAIK:
    ---------------------
    Safiq Rahim (Selangor)
      Mohd Badri Radzi (Kelantan)
      Rezal Zambery Yahya (ATM)
  
    PENYERANG TERBAIK:
    ------------------
    Mohd Norfarhan Mohamad (Kelantan)
      Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
      Mohd Amri Yahyah (Selangor)
  
    PEMAIN HARAPAN:
    ---------------
    Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)
      Nik Mohd Shahrul Azim Halim (Kelantan)
      Ashri Chu Chu (Sarawak)
  
    JURULATIH TERBAIK:
    -----------------
    Bojan Hodak (Kelantan)
      B.Sathiananthan (ATM)
     Irfan Bakti Abu Salim (Selangor)
  
    PEMAIN PALING BERNILAI:
    ----------------------
    Mohd Badri Radzi (Kelantan)
      Hairuddin Omar (ATM)
      Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
  
    PEMAIN ASING TERBAIK:
    ---------------------
    Marlon Alex James (ATM)
      Mohammed Ghaddar Mahmoud (Kelantan)
      Jean Emmanuel Effa Owana (Negeri Sembilan)

- Bernama

--- SINAR HARIAN

Sunday, April 17, 2011

Skuad Kelantan semakin parah

Oleh Ismail Muhamad
bhsukan@bharian.com.my
2011/04/16

Trio Red Warriors, Norshahrul, Shakir, Daudsu tak dapat turun lawan Sabah

KELANTAN dipalit kecewa besar apabila trio mereka - Norshahrul Idlan Talaha, Shakir Shaari dan Mohd Daudsu Jamaludin tidak dapat beraksi menentang Sabah di Kota Bharu, malam ini, akibat menerima kad kuning selain cedera.

Sebagai ganti, ketua jurulatih, Datuk M Karathu akan menamakan pemain muda, Mohd Nizad Ayub untuk mengisi tempat Norshahrul, manakala Md Badri Radzi yang direhatkan dua perlawanan sebelum ini, kembali menerajui posisi tengah ditinggalkan Shakir dan S Subramaniam mengisi kekosongan Daudsu.

“Kita tidak ada pilihan kerana tiga tonggak utama ini sudah menerima tiga kad kuning selain mengalami kecederaan. Jadi saya terpaksa memberi peluang kepada beberapa pemain muda mengisi kekosongan itu apabila menentang Sabah.

“Saya juga terpaksa kembali menggunakan khidmat Md Badri yang direhatkan ketika menentang Felda United dan Perak bagi menerajui posisi tengah memastikan mata penuh dapat diragut dari Sabah, malam esok (malam ini),” katanya, semalam.

Karathu berkata, pemain muda diturunkan harus memanfaatkan peluang diberi dengan mempamerkan aksi terbaik serta membuktikan kemampuan mereka menggalas cabaran, sekali gus merobek gawang lawan.

“Namun begitu, pemain The Red Warriors harus ingat, kita tidak dapat menduga kekuatan Sabah yang sebelum ini menewaskan Perak (2-1) selain seri 2-2 ketika menentang Perlis,” katanya.
 
--- BERITA HARIAN

Wednesday, November 18, 2009

Akmal milik Kelantan


ANNUAR menunjukkan senarai pemain yang akan beraksi untuk skuad Wira Merah pada musim depan.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan, enam pemain baru akan menyarung jersi Kelantan untuk musim 2010.

Antara pemain yang telah mengesahkan untuk bersama Kelantan ialah Nurshahrul Idlan Talaha, Syed Adney Syed Hussein, S. Subramaniam, S. Chanturu, Azizi Mat Rose, Shakir Shaari dan Akmal Rizal Rakhli.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, kehadiran pemain-pemain itu adalah usaha untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap selain sasaran untuk terus memburu kejuaraan.
Menurutnya, tempoh dua tahun termasuk musim 2009 merupakan pembentukan asas pasukan dan tahun 2010 adalah untuk mereka meneruskan aksi dengan persembahan yang lebih baik.

"Kita mahukan satu pasukan dengan corak permainan bola sepak moden yang pantas serta mempunyai tahap stamina yang tinggi.

"Kehadiran Nurshahrul dan Chanturu yang masih muda adalah taruhan terbaik untuk mengepalai jentera serangan Kelantan selain pengalaman yang dimiliki Akmal," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma KAFA di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, Subramaniam yang merupakan bekas kapten Perak dan pernah beraksi untuk pasukan negara bersama-sama bekas pertahanan Perlis, Azizi disenaraikan bagi mengatasi kelemahan bahagian pertahanan.

Katanya, perancang Kelantan, Badri Radzi akan mempunyai pasangan baru selepas Kelantan berjaya mengikat Shakir Shaari yang sebelum ini menimba pengalaman dengan UPB-MyTeam.

Jelasnya, Kelantan hanya akan mendaftar 26 pemain bagi mengharungi musim 2010 dan terpaksa menggugurkan beberapa pemain sedia ada.

"Faktor usia juga menyebabkan kita terpaksa menggugurkan penjaga gol berpengalaman, Halim Napi dan digantikan dengan Syed Adney.

"Bagaimanapun, kita telah bersetuju untuk menawarkan kontrak kepada Halim selaku jurulatih supaya ilmu dan pengalaman yang ada padanya diturunkan kepada pemain muda," ujarnya.

Annuar juga mengumumkan, B. Sathiana- than akan terus bersama Kelantan sebagai ketua jurulatih, sementara Hashim Musta- pha, Sidek Samsuddin dan Ismail Bakar akan bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Antara pemain lain yang digugurkan musim depan ialah Khalid Jamlus, Nafuzi Zain, Ahmad Ezrie Shafizie, Faizol Che Noh, Hanif Md. Nor, Safuan Ibrahim, Normizal Ismail dan Rosairil Asrol Mat Nor.


--- UTUSAN MALAYSIA

Tuesday, November 17, 2009

Kelantan berwajah baru?




LIMA muka baru bakal menyarung jersi Kelantan untuk saingan Liga M musim 2010.

Selepas berjaya mengalunkan gelombang kebangkitan bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini bersedia untuk membawa masuk tenaga baru bagi terus memperkuatkan pasukan.

Sumber Kosmo! memberitahu, penyerang kebangsaan yang juga bekas pemain UPB-My Team, Nurshahrul Idlan Talaha dan penyerang muda Pulau Pinang, S. Chanturu bakal menjadi penggempur terbaru sang Kijang untuk musim depan.

Menurutnya, kehadiran kedua-dua pemain yang memiliki larian kencang akan bergandingan bersama Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad yang sudahpun mengesahkan akan terus kekal bersama skuad Kelantan untuk semusim lagi.

"Kita juga membawa pulang bekas pemain remaja Kelantan, Shakir Shaari, 23, yang sebelum ini menyarung jersi MPPJ FC pada musim 2005 sebelum ke UPB-MyTeam selama tiga musim berikutnya untuk digandingkan bersama playmaker kita, Piya (Badri Radzi).

"Dia memiliki kelebihan dalam membuat hantaran tepat selain mampu menggerakkan bahagian tengah kerana teknik pengawalan bola yang cukup bagus," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussien juga turut dikaitkan sebagai antara pemain baru yang akan menyarung jersi Kelantan musim depan selepas pasukan lamanya, UPB-MyTeam menarik diri daripada Liga M musim depan.

Kehadiran Syed Adney menguatkan lagi khabar angin yang bertiup kencang mengenai pengguguran Halim Napi (gambar) daripada skuad Kelantan.

Dalam pada itu, Kelantan dikatakan gagal untuk mendapatkan khidmat pertahanan Felda United, Nazrulerwan Makmor yang mewakili Kelantan seba- gai pemain berstatus pinjaman pada aksi Piala Malaysia lalu.

"Norhafiz Zamani (Misbah) juga dalam senarai kita untuk dibawa ke Kelan- tan, namun dia juga gagal mendapatkan pelepasan daripada majikannya kerana masih mempunyai baki kontrak bersama KL Plus.

"Bagaimanapun, kita berjaya mendapatkan khidmat ketua pasukan Perak, S. Subramaniam," ujarnya.
Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan yang beraksi bersama Kuala Muda Naza (KM Naza), Akmal Rizal Rakhli dan pertahanan Perlis, Azizi Che Ros serta pemain tengah Selangor, Hardi Jaafar turut dikaitkan dengan perpindahan ke Kelantan pada kempen Liga Malaysia musim depan.