Wednesday, November 18, 2009

Akmal milik Kelantan


ANNUAR menunjukkan senarai pemain yang akan beraksi untuk skuad Wira Merah pada musim depan.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan, enam pemain baru akan menyarung jersi Kelantan untuk musim 2010.

Antara pemain yang telah mengesahkan untuk bersama Kelantan ialah Nurshahrul Idlan Talaha, Syed Adney Syed Hussein, S. Subramaniam, S. Chanturu, Azizi Mat Rose, Shakir Shaari dan Akmal Rizal Rakhli.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, kehadiran pemain-pemain itu adalah usaha untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap selain sasaran untuk terus memburu kejuaraan.
Menurutnya, tempoh dua tahun termasuk musim 2009 merupakan pembentukan asas pasukan dan tahun 2010 adalah untuk mereka meneruskan aksi dengan persembahan yang lebih baik.

"Kita mahukan satu pasukan dengan corak permainan bola sepak moden yang pantas serta mempunyai tahap stamina yang tinggi.

"Kehadiran Nurshahrul dan Chanturu yang masih muda adalah taruhan terbaik untuk mengepalai jentera serangan Kelantan selain pengalaman yang dimiliki Akmal," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma KAFA di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, Subramaniam yang merupakan bekas kapten Perak dan pernah beraksi untuk pasukan negara bersama-sama bekas pertahanan Perlis, Azizi disenaraikan bagi mengatasi kelemahan bahagian pertahanan.

Katanya, perancang Kelantan, Badri Radzi akan mempunyai pasangan baru selepas Kelantan berjaya mengikat Shakir Shaari yang sebelum ini menimba pengalaman dengan UPB-MyTeam.

Jelasnya, Kelantan hanya akan mendaftar 26 pemain bagi mengharungi musim 2010 dan terpaksa menggugurkan beberapa pemain sedia ada.

"Faktor usia juga menyebabkan kita terpaksa menggugurkan penjaga gol berpengalaman, Halim Napi dan digantikan dengan Syed Adney.

"Bagaimanapun, kita telah bersetuju untuk menawarkan kontrak kepada Halim selaku jurulatih supaya ilmu dan pengalaman yang ada padanya diturunkan kepada pemain muda," ujarnya.

Annuar juga mengumumkan, B. Sathiana- than akan terus bersama Kelantan sebagai ketua jurulatih, sementara Hashim Musta- pha, Sidek Samsuddin dan Ismail Bakar akan bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Antara pemain lain yang digugurkan musim depan ialah Khalid Jamlus, Nafuzi Zain, Ahmad Ezrie Shafizie, Faizol Che Noh, Hanif Md. Nor, Safuan Ibrahim, Normizal Ismail dan Rosairil Asrol Mat Nor.


--- UTUSAN MALAYSIA