|
|
LIMA muka baru bakal menyarung jersi Kelantan untuk saingan Liga M musim 2010.
Selepas berjaya mengalunkan gelombang kebangkitan bola sepak di
negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
kini bersedia untuk membawa masuk tenaga baru bagi terus memperkuatkan
pasukan.
Sumber Kosmo! memberitahu, penyerang kebangsaan yang juga
bekas pemain UPB-My Team, Nurshahrul Idlan Talaha dan penyerang muda
Pulau Pinang, S. Chanturu bakal menjadi penggempur terbaru sang Kijang
untuk musim depan.
Menurutnya, kehadiran kedua-dua pemain yang memiliki larian kencang
akan bergandingan bersama Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad
yang sudahpun mengesahkan akan terus kekal bersama skuad Kelantan untuk
semusim lagi.
"Kita juga membawa pulang bekas pemain remaja Kelantan, Shakir
Shaari, 23, yang sebelum ini menyarung jersi MPPJ FC pada musim 2005
sebelum ke UPB-MyTeam selama tiga musim berikutnya untuk digandingkan
bersama playmaker kita, Piya (Badri Radzi).
"Dia memiliki kelebihan dalam membuat hantaran tepat selain mampu
menggerakkan bahagian tengah kerana teknik pengawalan bola yang cukup
bagus," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussien juga turut
dikaitkan sebagai antara pemain baru yang akan menyarung jersi Kelantan
musim depan selepas pasukan lamanya, UPB-MyTeam menarik diri daripada
Liga M musim depan.
Kehadiran Syed Adney menguatkan lagi khabar angin yang bertiup kencang mengenai pengguguran Halim Napi (gambar) daripada skuad Kelantan.
Dalam pada itu, Kelantan dikatakan gagal untuk mendapatkan khidmat
pertahanan Felda United, Nazrulerwan Makmor yang mewakili Kelantan seba-
gai pemain berstatus pinjaman pada aksi Piala Malaysia lalu.
"Norhafiz Zamani (Misbah) juga dalam senarai kita untuk dibawa ke
Kelan- tan, namun dia juga gagal mendapatkan pelepasan daripada
majikannya kerana masih mempunyai baki kontrak bersama KL Plus.
"Bagaimanapun, kita berjaya mendapatkan khidmat ketua pasukan Perak, S. Subramaniam," ujarnya.
Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan yang beraksi bersama Kuala
Muda Naza (KM Naza), Akmal Rizal Rakhli dan pertahanan Perlis, Azizi Che
Ros serta pemain tengah Selangor, Hardi Jaafar turut dikaitkan dengan
perpindahan ke Kelantan pada kempen Liga Malaysia musim depan.