Thursday, November 12, 2009

Maafkan saya - Zamri



"MAAFKAN saya, malam itu bukan malam saya."

Itu pengakuan pemain pertahanan Kelantan, Zamri Ramli, 19, (gambar) yang dikaitkan sebagai punca kekalahan Kelantan kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009, Sabtu lalu.

Pemain muda berbakat ini terpaksa mengharungi detik sukar kini kerana dicemuh peminat sendiri yang mendakwa ketiga-tiga gol Negeri Sembilan berpunca daripada kesilapannya.

Baginya, perlawanan yang sepatutnya menjadi kenangan manis sepanjang kariernya itu bertukar menjadi igauan ngeri sehingga menyebabkannya kini berkira-kira untuk terus menggantung but.

Menurutnya, apa yang dikesalkannya apabila ada peminat menuduhnya menjual permainan sedangkan dia sendiri tidak pernah mengetahui mengenai rasuah.

"Saya sangat tertekan kini apabila mereka (peminat) menuduh saya mengambil rasuah sedangkan saya tidak mengetahui apa-apa pun mengenainya.

"Segalanya bermula sebaik wisel permulaan dibunyikan. Saya jadi tak tentu hala, kepala saya berserabut dan saya hilang fokus sehinggakan beberapa kali buat silap," katanya ketika dihubungi semalam. 

Tambahnya, ketika keluar memanaskan badan sebelum perlawanan bermula, beliau begitu bersemangat untuk turun beraksi dan berjanji untuk beraksi dengan baik.

Katanya, beliau menolak andaian sesetengah pihak bahawa beliau gementar ketika beraksi pada perlawanan akhir tersebut dengan kehadiran penyokong yang begitu ramai dan tidak cergas.

"Saya tidak gugup kerana sebelum ini sudah ada pengalaman ketika beraksi pada perlawanan akhir Piala FA dan saya juga cergas pada malam perlawanan tersebut.

"Fokus saya pada bola hilang, saya tenggelam punca menyebabkan saya gagal bermain dengan baik termasuk membuat kesilapan ketika melakukan hantaran kepada rakan," ujarnya.