Saturday, November 7, 2009

Badri terkilan

BADRI tidak dapat beraksi pada kempen Piala Malaysia ekoran masalah kecederaan.


BAGI seorang pemain bola sepak, tiada yang lebih 'menyakitkan' selain melihat rakan-rakan sepasukan beraksi dari tempat duduk penonton.

Situasi itulah yang kini dirasai Badri Radzi yang terlepas aksi final Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan malam ini.



Menurutnya, dia sangat kecewa dan terkilan kerana tidak dapat membarisi skuad Kijang pada pertemuan penuh bersejarah itu.

"Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Rasanya seperti saya mahu turun ke padang dan menyarung kasut untuk bermain bersama rakan-rakan lain.

"Tetapi apakan daya, saya tidak dapat pulih sepenuhnya. Saya reda dan menerima takdir ini dengan hati yang terbuka," katanya semalam.



Badri berkata, dia yakin walaupun tanpa kehadirannya, rakan-rakan sepasukannya mampu untuk menjalankan tugas sebaik mungkin.
"Kelantan perlu berhati-hati dengan bahagian tengah Negeri Sembilan kerana di situ kekuatan mereka kerana mempunyai dua pemain yang berpenga- laman.

"Saya tidak mampu menyumbang tenaga, hanya memberi sokongan dari jauh kepada rakan-rakan dan berdoa semoga Piala Malaysia akan ke Kota Bharu buat pertama kali," ujarnya.

Badri atau lebih dikenali sebagai Piya, mengalami kecederaan patah tulang fibula pada kaki kirinya selepas diterjah keras oleh Shahriman Che Omar ketika Kelantan menentang Pulau Pinang dalam perlawanan Liga Super pada 7 Julai lalu.

Ekoran insiden itu, Badri yang dianggap antara perancang terbaik pernah dilahirkan Kelantan terpaksa melupakan baki saingan liga dan kempen Piala Malaysia musim ini.