ARKIB : 05/11/2009
KUALA LUMPUR - Kejayaan merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik sepanjang musim ini bakal menjadi tonik terbaik buat Indra Putra Mahayuddin menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan Sabtu ini.
Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2009 100PLUS-FAM itu turut mengiktiraf pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak (pertahanan terbaik) yang juga akan memikul tanggungjawab besar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari yang sama.
Indra, 28, yang pernah membantu Kelantan mara ke saingan akhir Piala FA menentang Selangor musim ini dan menggalas tugas sebagai ketua pasukan berjaya membawa pulang dua trofi kristal berserta wang tunai RM3,000.
Menurutnya, penerimaan anugerah itu dianggap satu penghargaan besar dan sudah tentu menaikkan semangatnya menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 100 PLUS dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana mengadakan anugerah seperti ini ia akan menaikkan semangat pemain untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada majlis tersebut.
Bagaimanapun Indra tidak hadir pada anugerah tersebut dan dia diwakili pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.
Selain Indra dan Aidil, anugerah tersebut turut mengiktiraf pemain Perlis, Farizal Marlias sebagai penjaga gol terbaik, Amri Yahyah dari Selangor (pemain tengah terbaik) dan Mohd. Muslim Ahmad dari Harimau Muda (pemain harapan).
Berjaya membawa Selangor muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super membolehkan K. Devan dipilih sebagai jurulatih terbaik musim ini.
Sebelum ini FAM telah mengumumkan bahawa Selangor turut memenangi anugerah pengurusan terbaik, manakala anugerah kelab terbaik yang baru diperkenalkan musim ini menjadi milik Johor FC dan penyokong terbaik digondol KL PLUS.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2FMgVKpU0
© Utusan Melayu (M) Bhd