|
|
KOTA BHARU - Kelantan mungkin kehilangan penyerang utamanya, Khalid Jamlus dalam pertembungan kedua-dua saingan suku akhir Piala Malaysia menentang KL PLUS termasuk ketika berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok
Ia disebabkan bekas penyerang kebangsaan itu baru sahaja melangsungkan perkahwinannya di Selangor semalam.
Bagaimanapun ketiadaan Khalid tidak menggoyahkan persiapan skuad Kijang, malah B. Sathianathan menegaskan beliau mempunyai pengganti untuk mengisi kekosongan Khalid.
"Saya belum pasti sama ada akan menurunkan Khalid pada perlawanan
Selasa ini (esok) kerana dia tidak dapat turun latihan disebabkan
melangsungkan perkahwinannya. Apa pun, bagi perlawanan Selasa ini
peluang untuk menurunkannya masih ada tetapi untuk perlawanan kedua di
Kota Bharu Sabtu ini kemungkinan besar dia tidak dapat diturunkan
disebabkan ia serentak dengan majlis persandingannya di Perak pula,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Apa pun, Sathianathan berkata, beliau telah menyediakan program khas
untuk Khalid menjalankan latihan sendirian dalam tempoh cuti kahwin itu
disebabkan penyerang utama tidak dapat bersama dengan pasukan sepanjang
tempoh tersebut.
Katanya, biar pun tanpa Khalid persiapan pasukan itu untuk
menghadapai KL PLUS berjalan dengan lancar dan beliau sedang mencongak
strategi untuk mencari pengganti Khalid.
"Ketiadaan Khalid tidak membimbangkan disebabkan kita ada beberapa
pemain yang boleh mengisi posisi tersebut seperti Mohd. Norfarhan
Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin tetapi Indra ada sedikit kecederaan.
"Siapa yang akan diturunkan ada tugasan yang penting untuk menggalas watak penyerang utama ini," katanya.
Dalam padi itu, beliau turut menghormati KL PLUS kerana pasukan itu
diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman seperti Rosid Talib
dan Mohd. Lot Abu Hassan.
"Penampilan KL PLUS kali ini berbeza dengan saingan Liga Super kerana
mereka diperkuatkan dengan beberapa pemain dari T-Team yang
berpengalaman.
"Saya akan sedang melihat strategi yang sesuai untuk pertemuan ini
tetapi bagi saya mudah, jika pemain dapat lakukan dengan betul pada
latihan sudah pasti mereka akan dapat lakukan dengan betul juga pada
perlawanan itu," katanya.
--- UTUSAN MALAYSIA