Sunday, January 17, 2010

Kelantan mahu kekal rekod bersih

AKMAL RIZAL AHMAD RAKHLI terus menjadi sandaran Kelantan bagi merobek gawang Perlis pada aksi Liga Super malam ini.


KELANTAN hanya menumpukan untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Kangar pada aksi menentang Perlis malam ini.

Bagaimanapun, pengendali Kelantan, B. Sathianathan tetap berhati-hati kerana Perlis kini sudah mendapat semangat baru selepas menewaskan Kedah di Alor Setar, Selasa lalu.

Tanpa berselindung, bekas jurulatih kebangsaan ini percaya perlawanan malam ini pastinya sengit dan Kelantan tidak berdepan laluan mudah untuk menundukkan Singa Utara itu.

"Mungkin kita pernah menewaskan mereka pada separuh akhir Piala Malaysia lalu tetapi seperti juga kita, mereka juga menjadi sebuah pasukan yang berbeza untuk musim baru ini.

"Menewaskan Kedah di Alor Setar bukan tugas yang mudah tetapi mereka berjaya melakukannya dan kita perlu lebih berhati- hati," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pemain The Red Warriors perlu bersedia dari segi mental terutama ketika berdepan dengan penyokong tuan rumah yang pastinya akan membanjiri stadium.

Katanya, jika memandang rendah kemampuan lawan, ia akan mengundang padah.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan keupayaan pemain terutama barisan pertahanan. Kita satu-satunya pasukan yang belum dibolosi dan ia perlu dikekalkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menamakan dua pemain Perlis, Azrul Ahmad dan Ahmad Fakri Saarani sebagai pemain yang mampu menghampakan The Red Warriors.

Jelasnya, Kelantan masih belum mendapat- kan khidmat dua pemain tonggak, Norfarhan Mohamad dan Zairul Fitree Ishak yang masih dibelenggu kecederaan.

"Kedua-duanya masih belum boleh disenaraikan kerana cedera dan apa yang lebih positif adalah semua pemain berusaha untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama," jelas- nya.