NAIB juara Piala FA musim lalu, Kelantan tersingkir daripada saingan.
The Red Warriors sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kedah
pada perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammed ke-IV,
Kota Bharu malam kelmarin.
Keputusan tersebut menyaksikan Kedah layak ke pusingan suku akhir
menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan
terikat seri tanpa jaringan pada aksi pertama di Alor Setar, Selasa
lalu.
Pada perlawanan malam kelmarin, Kelantan yang beraksi di laman
sendiri menggunakan kelebihan tersebut apabila bermain secara menyerang
sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.
Namun begitu, penyokong setia Kelantan terpaksa menunggu sehingga
minit ke-71 untuk berpesta apabila kapten pasukan, Indra Putra Mahyuddin
bijak menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan, S. Chanturu bagi
membolehkan Kelantan mendahului 1-0.
Selang tiga minit kemudian, Baddrol Bakhtiar memusnahkan impian
Kelantan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-74 sekali gus
menamatkan kempen The Red Warriors dalam Piala FA 2010.
Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika dihubungi semalam berkata,
beliau tetap berpuas hati dengan persembahan semua pemainnya.
Menurutnya, walaupun mengusai hampir keseluruhan permainan, nasib
sekali lagi tidak menyebelahi pasukanya apabila deretan peluang yang
dimiliki gagal disempurnakan dengan baik.
"Saya tidak salahkan pemain, mereka dah buat yang terbaik, peminat
boleh nampak mereka main mati-matian pada perlawanan tersebut.
"Ramai pemain memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal,
bersadarkan kepada persembahan semalam (kelmarin), saya yakin pasukan
kita boleh melangkah lebih jauh," ujarnya
--- KOSMO