Saturday, May 22, 2010

Periuk nasi saya terjejas – Khalid Jamlus

KHALID JAMLUS


NAMA Khalid Jamlus kembali hangat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak merestui perpindahan bekas penyerang kebangsaan itu ke T-Team, kelmarin. Alasannya mudah, perpindahan Khalid dari ATM ke T-Team tidak mengikut peraturan kerana pemain itu didaftarkan untuk pasukan ATM musim ini. Lantaran itu, Khalid tidak boleh mewakili mana-mana pasukan kecuali ATM, namun agak pelik kerana kontraknya bersama ATM telah ditamatkan.
Kecewa, bingung dan tidak tahu ke mana lagi haluan yang harus dibawa. Itu luahan Khalid sejurus ditanya situasi semasa, ekoran keputusan FAM kelmarin.
Berikut adalah temu bual wartawan Utusan Malaysia, Sayed Hesham Idris dengan Khalid mengenai kemelut terbaru yang dialaminya.
Utusan: Apa yang anda dapat katakan mengenai keputusan FAM tidak membenarkan anda menyertai T-Team?

Khalid: Amat kecewa... Saya sudah sebulan menjalani latihan persediaan bersama pasukan T-Team. Namun, kelmarin FAM tidak membenarkan saya mengikat kontrak. Segala persediaan bersama pasukan T-Team sia-sia.

Apakah anda keliru dengan alasan FAM bahawa anda hanya boleh beraksi untuk ATM, sedangkan kontrak anda sudah ditamatkan?

Khalid: Peraturan kelab ada menyebut saya boleh menyertai mana-mana pasukan jika kontrak saya ditamatkan. Saya tidak tahu peraturan FAM tidak membenarkan saya menyertai kelab lain selepas kontrak saya dengan ATM ditamatkan.

Apa tindakan anda seterusnya?

Khalid: Saya belum ada apa-apa cadangan. Cuma saya mahu bermain bola sepak, meneruskan karier. Ini rezeki saya. Bola sepak periuk nasi saya. Saya perlu menyara keluarga. Musim ini saya belum beraksi walau dalam satu perlawanan pun.

Apa yang dapat anda katakan mengenai keputusan FAM kelmarin?

Khalid: Saya tidak tahu apa salah saya sehingga tidak dibenarkan beraksi. Saya bukannya melakukan kesalahan serius sehingga tidak dibenarkan ke pasukan lain. Saya bukan mengambil dadah, juga bukan menjual perlawanan.

Saya hanya mahu meneruskan karier.

Tidak dapat meneruskan karier bermakna anda tiada pendapatan, bagaimana kehidupan anda sekarang?

Khalid: Saya ibarat sudah tiada ruang lagi untuk bernafas. Ada sahaja halangan untuk saya meneruskan karier. Ini menyekat periuk nasi saya. Namun, apa yang berlaku sama sekali tidak membunuh karier saya. Saya masih mahu bermain. Mungkin untuk dua atau tiga tahun lagi.

--- UTUSAN MALAYSIA