THURSDAY, 10 DECEMBER 2009 08:15 |
HAIRUDDIN akan mewakili Kelantan pada siangan Liga Super musim depan. Dia telah menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad tersebut semalam.
PENYERANG
prolifik kelahiran Terengganu, Hairuddin Omar kini sah menjadi milik
Kelantan selepas menandatangani kontrak setahun bersama pasukan itu.
Hairuddin yang sebelum ini menjadi pemain buruan pasukan Negeri Sembilan akhirnya membuat keputusan menyarung jersi The Red Warriors selepas turut menolak tawaran pasukan yang disertainya musim lalu, T-Team.
Beliau
sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Negeri Sembilan selepas
berjaya membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia apabila menewaskan
Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir 7 November lalu.
Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan yang sudah pun menjangkau usia 30 tahun itu akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan kariernya di bumi Cik Siti Wan Kembang.
Menurutnya, keluarga adalah faktor utama kenapa beliau membuat keputusan untuk menyertai Kelantan pada musim depan.
"Saya
berasal dari Setiu yang terletak bersempadan dengan Kelantan dan ia
menjadi salah satu sebab kenapa saya memilih Kelantan untuk musim depan.
"Tawaran
yang diberikan Kelantan juga cukup baik dan peluang beraksi bersama
rakan-rakan lama seperti Indra, Farhan dan Akmal perlu untuk saya
pertimbangkan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya,
KAFA melalui Penolong Setiausaha Agungnya, Arif Hassan telah menemuinya
malam kelmarin dan secara rasmi kontrak selama setahun telah dimeterai.
Katanya,
keputusan menyertai Kelantan dilakukannya untuk mencuba 'angin baru'
selain mahu bersama-sama Kelantan mencipta sejarah menjulang Piala
Malaysia musim depan.
"Secara jelasnya, saya sudah dihubungi oleh coach
Sathia (B.Sathianathan) selepas perlawanan akhir Piala Malaysia
berakhir yang memberi tawaran kepada saya untuk menyertai Kelantan.
"Ketika
itu saya masih belum membuat sebarang keputusan dan kini saya yakin
keputusan yang saya ambil untuk bersama Kelantan adalah yang terbaik,"
ujarnya.
Pada
pertandingan Piala Malaysia lalu, Hairuddin turut mencetak nama sebagai
pemain yang menghampakan pasukan negeri kelahirannya, Terengganu pada
perlawanan peringkat separuh akhir.
Beliau
juga turut membunuh harapan Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia
apabila gol kedua Negeri Sembilan hasil jaringannya, kurang satu minit
selepas wisel separuh masa kedua dibunyikan menerjah gawang Kelantan.
Sementara
itu, Arif ketika dihubungi semalam memberitahu, Hairuddin telah sah
didaftarkan sebagai pemain ke-25 pasukan Kelantan untuk beraksi musim
depan.
Jelasnya,
Hairuddin semalam telah pun terbang ke Bangkok untuk menyertai pasukan
Kelantan menjalani latihan dalam siri perlawanan persahabatan di sana.
Sumber: Kosmo
--- http://paramedik.bbfr.net
|