TIADA apa yang mampu diucapkan pengendali The Red Warrios (TRW), George Boateng melainkan ukiran senyuman selepas mencatat tiga mata penuh menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 2-0 di Stadium Paroi.

Bagi Boateng, kemenangan ini adalah hasil usaha berpasukan yang komited melakar tiga mata dalam aksi sulung Liga Super 2015.

“Semua pemain menunjukkan persembahan sebagai satu pasukan, kita memiliki beberapa peluang namun kemenangan ini begitu berharga buat pasukan.

“Walaupun kita kekurangan seorang pemain akibat masalah kecederaan namun, mereka tidak berasa goyah malah menghadirkan ancaman kepada lawan termasuklah menjaringkan gol kedua,” katanya.

Mengulas beberapa pemain utamanya yang mengalami kecederaan, Boateng belum dimaklumkan secara menyeluruh tahap kecederaan tersebut.

“Norfarhan, Mohd Hazrul, Nik Shahrul Azim dan Brendan Gan mengalami kecederaan, sejauh mana tahap kecederaan hanya akan diketahui selepas pegawai perubatan melakukan pemeriksaan.

“Saya harap kecederaan mereka tidak serius dan mampu beraksi menentang Lions XII di laman sendiri Sabtu nanti,” katanya.


--- SINAR HARIAN