TEKA -Teki mengenai Brendan Gan akhirnya terjawab apabila pemain tengah versatil The Red Warriors (TRW) itu kekal menyarung jersi pasukan berkenaan untuk saingan Liga Malaysia musim 2015.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebooknya malam kelmarin mengumumkan Brendan, pemain yang mendapat taraf kerakyatan, Mac lalu, antara yang tersenarai dalam pasukan berkenaan untuk musim depan.

“Pemain berikut mempunyai kontrak dengan Kafa dan telah pun didaftarkan secara rasmi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu sebagai pemain skuad The Red Warriors musim 2015.

“Yang lain (pemain) sedang diuruskan. Apex (Khairul Fahmi Che Mat), Mat Chah (Mohd Shahrizan Ismail), Syazwan (Yusoff), Poknik (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Tuan Muhammad Faim (Tuan Zainal Abidin), Roypy (Zairul Fitree Ishak) dan Mohd Fitri (Omar).

Turut kekal bersama Kelantan ialah Wan Zack Haikal Wan Noor, Ahmad Fakri Saarani, Brendan Gan, Mohd Badri Radzi, Mohd Khairul Izuan Rosli, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Amar Rohidan dan Mohd Farisham Ismail.

Pengumuman terbaharu itu sekali gus menamatkan keresahan penyokong Pahlawan Merah yang sebelum ini terkejut dengan spekulasi tersebar luas mengenai perpindahan Brendan ke salah sebuah kelab di selatan tanah air.

Malah timbul desas-desus pemain kelahiran Australia itu dikatakan akan dijual dengan nilai jutaan ringgit kepada kelab berkenaan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Kelantan, tidak lama dahulu.

Menurutnya lagi, empat pemain import sudah mengikat kontrak dengan pihak Kafa dan nama mereka akan diumumkan sebaik sahaja urusan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) selesai tidak lama lagi.

“Masih ada tujuh slot lagi untuk pemain tempatan memperkasakan TRW. Senarai lengkap akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya ringkas.

Sementara itu, dalam entri berbeza, Annuar turut membayangkan pasukan Kelantan pada musim depan bakal memiliki pemain import yang mempunyai reputasi cukup hebat di pentas antarabangsa.

“Seorang kapten pasukan yang pernah beraksi dalam Liga Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia, seorang penjaring di liga sebuah negara Afrika 2014 dan seorang lagi juga penjaring terbanyak liga sebuah negara Asia musim ini,” katanya.


--- SINAR HARIAN