Monday, October 27, 2014

Khalid bintang rebutan


JIKA tidak melibatkan diri dalam sukan bola sepak, saya mungkin menjadi pegawai polis sekarang ni.” reaksi bekas bintang bola sepak tersohor tanah air, Muhammad Khalid Jamlus kepada Ultras Sinar ketika mengulas cita-cita asalnya.

Jelasnya, cita-cita berkenaan sudah sinonim dengan dirinya sejak di bangku sekolah, namun tidak menyangka akhirnya dirinya bergiat aktif dalam sukan bola sepak pula.

"Biasalah zaman sekolah, kita pun tak tahu apakah cita-cita kita yang sebenar dan pada ketika itu saya ingin menjadi seorang pegawai polis.

 “Namun, tak sangka pula rezeki saya dalam sukan bola sepak. Alhamdulillah, saya gembira dan berbangga kerana pernah mewarnai arena bola sepak negara,” kata bapa kepada dua anak ini lagi.

GANDINGAN TERBAIK

Sepanjang pembabitannya dalam sukan bola sepak, dalam sukan bola sepak Khalid pernah menyarung jersi lima pasukan berbeza dimulai dengan Perak kemudian Selangor, Kelantan, ATM, Kelantan dan PDRM.

Debut Khalid bersama skuad Olimpik 2000 lalu pastinya akan terus dikenang pencinta sukan bola sepak tanah air apatah lagi dengan gandingannya di bahagian serangan, V.Saravanan (gandingan Khalid – Sara) yang pernah dianggap sebagai gandingan penggempur terbaik pada ketika itu.

Buktinya, gandingan berkenaan berjaya memacu kejayaan Perak untuk muncul juara Piala Malaysia 2000 dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Shah Alam hinggakan Khalid terpilih untuk mengikuti sesi latihan dengan kelab terkemuka Liga Jerman (Bundesliga) Eintracht Frankfurt pada 2002 lalu.

BIDANG SAMA

Sejak itu Khalid sering tersenarai beraksi bersama skuad kebangsaan dan antara kejohanan yang disertai adalah kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2002, Piala Tiger 2004.

Kini Khalid lebih banyak terlibat sebagai pengulas bebas bagi Astro Arena, khususnya bagi mengulas saingan liga tempatan.