Monday, February 9, 2015

Beraksi 10 Pemain Tidak Patahkan Semangat Pasukan - Azman

KOTA BAHARU, 8 Feb (Bernama) -- Pengurus Kelantan Azman Ibrahim memuji semangat ditunjukkan pemain pasukan tersebut walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Azman berkata beliau kagum dengan semangat juang ditunjukkan pemain The Red Warriors sepanjang 30 minit terakhir perlawanan itu, untuk mengutip tiga mata penuh di tempat lawan, selepas Brendan Gan dikeluarkan akibat kecederaan, tatkala Kelantan ketika itu telah menggunakan kesemua tiga pertukaran pemain.

"Saya amat kagum dengan sikap dan disiplin diperagakan pemain sepanjang tempoh berkenaan dan berjaya mengekang asakan bertali arus pihak lawan.

"Pemain beraksi sebagai satu unit dan saling membantu antara satu sama lain. Semangat ini amat diperlukan dalam saingan liga selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kelantan membuka langkah kanan dalam perlawanan pembuka tirai saingan Liga Super malam tadi, apabila menewaskan ATM 2-0 menerusi jaringan Mohd Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-13 dan Erwin Carrillo minit ke-61.

Azman, bagaimanapun mengingatkan anak buah George Boateng itu supaya melakukan persediaan mental dan fizikal yang lebih rapi bagi mengharungi musim ini yang dilihatnya cukup mencabar berikutan kemunculan beberapa pesaing baharu.

"Pemain juga perlu menunjukkan sikap positif dan komitmen tinggi jika mahu terus tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan pada setiap perlawanan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Azman berharap Gan tidak mengalami kecederaan serius kerana khidmatnya amat diperlukan oleh pasukan untuk mengharungi perlawanan selepas ini.

"Kita telah bawa Gan untuk berjumpa dengan doktor malam tadi (semalam), kecederaan yang dialami nampak tidak serius. Setakat ini dia boleh berjalan tanpa bantuan rakan-rakan walaupun terhenjut-henjut.

"Bagaimanapun, keputusan sebenar akan ditentukan selepas Gan menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur hari ini," katanya.

-- BERNAMA