Pemangku Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, pasukannya tetap akan turun dengan misi memburu kemenangan pada pertemuan terakhir yang disifatkan pelengkap jadual bagi kedua-dua pasukan itu.
“Kita buka kempen (liga) dengan kemenangan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kita juga mahu tutup perlawanan terakhir malam esok (ini) dengan menewaskan Sarawak.
“Bagi saya, kemenangan ini penting kerana ia melibatkan maruah pasukan lebih-lebih lagi kami bermain di laman sendiri. Siapa tahu, mungkin Perak tewas kepada Selangor dan kami pula boleh menang untuk mengakhiri saingan di tangga kelapan,” katanya.
Jurulatih berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengambil pendekatan berwaspada tatkala The Crocs yang mendapat sentuhan Jurulatih Bosnia Herzegovina, Fuad Grbesic dilihat semakin bersemangat setelah mengejutkan Lions XII FC, 2-1, tiga hari lalu.
“Pertemuan kedua-dua pasukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sentiasa sengit dan kalau kami menang sekali pun hanya dengan jaringan tipis. Jujurnya, saya hormati Sarawak, tetapi kami tidak rela mereka bawa pulang mata ke Kuching,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zahasmi memberitahu, dia mampu menarik nafas lega apabila skuad kendaliannya yang tempang ketika tewas 0-3 kepada Selangor tempoh hari kembali diperkuatkan beberapa tonggak utama, pada pertemuan malam ini.
Menurutnya, kelibat dua penyerang import, Gilmar Dos Santos Filho dan Austin Amutu selain Mohd Noor Hazrul Mustafa dan Norhafiz Zamani Misbah boleh diturunkan selepas selesai jalani penggantungan satu permainan.
--- SINAR HARIAN