Wednesday, August 19, 2015

Tiada 'layanan istimewa' untuk JDT





TIADA istilah merendah diri bagi Kelantan apabila berdepan peneraju takhta Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan berprofil tinggi bagi kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Sebaliknya, Pemangku Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, pasukan himpunan pemain bintang itu akan diberi ‘layanan istimewa’ oleh anak buahnya yang bertekad mahu membalas dendam di atas kekalahan 3-1 pada pusingan pertama.

“Kita akui JDT merupakan pasukan terbaik di negara ini dan wajar dihormati namun itu tidak bermakna kita perlu merendah diri. Kita anggap jumpa JDT sama seperti Kelantan lawan pasukan lain, sebelum ini.

“Kita tak takut kepada JDT, saya hanya takut sekiranya pemain-pemain Kelantan sendiri gagal beraksi dengan baik mengikut arahan pada perlawanan malam esok (ini),” katanya.

Pengendali sementara itu dilihat bermain psikologi apabila memberitahu, biarpun The Red Warriors turun dengan misi memburu kemenangan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut, namun ia bukan satu tekanan buat pasukannya apabila bertemu JDT.

Malah Zahasmi memberitahu, skuad kendalian Mario Gomez itu sebenarnya dilihat berada dalam keadaan tertekan untuk meraih kemenangan setelah mereka diekori rapat pencabar terdekat, Pahang ketika ini.

“Matlamat Kelantan dan JDT berbeza. Tekanan semestinya di JDT kerana mereka datang ke Kota Bharu untuk mempertahankan teraju liga manakala kita pula mahu perbaiki kedudukan. Tetapi saya ingin tegaskan tiada laluan mudah buat JDT untuk mencuri mata di sini,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali berusia 48 tahun itu tampak lega apabila perancangannya untuk menyenaraikan barisan terkuat mungkin menjadi kenyataan setelah beberapa tonggak utamanya kembali ke pangkuan pasukan.

Ia berikutan penyerang import Brazil, Gilmar Dos Santos Filho dan Ahmad Fakri Saarani semakin pulih daripada kecederaan manakala pemain pertahanan tinggi lampai, Amiridzwan Taj Tajudin baharu selesai menjalani penggantungan permainan.

“Gilmar kemungkinan besar akan kembali digandingkan bersama Austin (Amutu) selaku penggempur malam esok (ini). 

Pada masa sama, saya ingatkan benteng pertahanan lebih fokus terutamanya ketika lawan memperoleh set piece kerana ia menjadi senjata utama penyerang mereka, Luciano (Figueroa) untuk menjaringkan gol,” katanya.
 
--- SINAR HARIAN