Aksi terakhir Mohamad Zamri (kanan) ketika diturunkan Kelantan bertemu Pahang pada 25 Jun lalu. Pada perlawanan tersebut, beliau menjaringkan satu gol untuk pasukannya.
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan mengemukakan rayuan berhubung kes pemain pertahanannya, Mohamad Zamri Ramli yang digantung dua tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya berpuas hati dengan ujian yang dilakukan di makmal di India, mengesahkan pemain tersebut mengambil bahan terlarang jenis methamphetamine.

“Sekiranya pemain tersebut bercadang hendak buat rayuan, itu terpulang kepada dirinya sendiri. Bagi pihak Kafa, kita tidak akan mengemukakan rayuan sebab dia terbukti bersalah.

“Saya berpuas hati dengan keputusan kedua-dua ujian tersebut. Tiada keraguan mengenainya, apabila didapati bersalah, dia perlu menerima hukuman penggantungan dua tahun itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Annuar, ekoran keputusan penggantungan yang diputuskan badan induk bola sepak kebangsaan itu, kontrak pemain berusia 23 tahun dengan pihak Kafa secara automatiknya terbatal.

Sinar Harian, semalam melaporkan, Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak menjatuhkan hukuman penggantungan dua tahun kepada Mohamad Zamri Ramli setelah didapati positif ujian doping ketika aksi final Piala FA, 29 Jun lalu.

Keputusan tersebut menyaksikan Mohamad Zamri dilarang daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sepanjang tempoh penggantungannya.

Tambahnya, pihak Kafa tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemain yang didapati mencemarkan nama baik pasukan The Red Warriors termasuklah terlibat di dalam penyalahgunaan dadah.

“Nasihat saya kepada pemain lain, jangan cuba ulanginya kerana ini merupakan kesalahan cukup besar.

“Dua tahun (penggantungan) adalah tempoh yang cukup panjang, sukar untuk pemain mengembalikan prestasi mereka setelah lama tidak terbabit dalam bola sepak,” katanya.

--- SINAR HARIAN