|
|
BEKAS penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli membidas Persatuan Bola
Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa tidak berpegang kepada janji dalam
isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.
Akmal mendakwa, dia bersama lima lagi pemain tidak diberikan bonus
kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik
sahaja Liga Malaysia musim 2010 berakhir.
"Saya bersama Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose
dan Nor Farhan Mohamad tidak mendapat bonus seperti yang dijanjikan,
sedangkan kami berada dalam skuad utama pada musim lalu.
"Dalam masa yang sama, saya dapat tahu pemain yang kekal telah
diberikan bonus kemenangan itu mengikut kadar tertentu," katanya ketika
dihubungi semalam.
Tambahnya, dia berharap Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dapat
menyelesaikan masalah pembahagian bonus itu apabila pulang dari luar
negara.
Sepanjang musim lepas, pasukan Kelantan dilihat sebagai skuad yang mantap dan sempurna tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapun, sebaik sahaja menjulang Piala Malaysia, beberapa
tonggak utama dikatakan akan mengangkat kaki berhijrah ke pasukan lain.
Akmal Rizal dan Hairuddin sah akan beraksi dengan Perak serta Negeri Sembilan.
Bagaimanapun kedudukan kapten pasukan, Indra Putra, Azizi dan Nor
Farhan Mohamad masih belum diketahui biarpun ada desas-desus mengatakan
mereka akan berhijrah ke T-Team.
Pada Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, Annuar melahirkan rasa
kecewa dengan sikap segelintir pemain yang disifatkannya sebagai lupa
diri selepas berjaya mencipta nama dengan The Red Warriors.
Annuar meluahkan kekecewaan itu melalui laman sosial Facebook
peribadinya dan menyifatkan beberapa pemain Kelantan sebagai 'pemain
yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka nobody (tidak terkenal)'.
Akmal Rizal yang juga bekas penyerang kebangsaan berkata, dia
mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana
memberikan bonus sebanyak RM200,000 dan berharap KAFA mengagihkannya
secara adil kepada semua pemain.
"Saya percaya KAFA akan mengagihkan wang ini kepada semua pemain termasuk kami yang telah berhijrah ke pasukan lain," katanya.
--- KOSMO