Thursday, November 10, 2011

Trio T-Team kembali ke pasukan Kelantan

ARKIB : 09/11/2011
Annuar Musa bersalaman dengan Indra Putra sambil diperhatikan Mohamad Norfarhan selepas sidang media skuad Red Warriors di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU - Tiga bekas tonggak The Red Warriors musim 2010 Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Azizi Mat Rose kembali bagi menyarung jersi Kelantan untuk mengharungi cabaran musim hadapan.

Berita mengenainya disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dalam majlis pengumuman barisan penuh Kelantan musim 2012 di Kafe The Red Warriors Station di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden KAFA, Datuk Othman Zakaria dan Rosmadi Ismail serta Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim.

Annuar berkata, persetujuan pihaknya dengan ketiga-tiga pemain terbabit telah dicapai sejak empat bulan lalu, bagaimanapun proses menandatangani kontrak baru sahaja dilakukan.

"Jadi tidak timbul isu saya memanggil semula kesemua mereka. Urusan bola sepak adalah urusan profesional. Dalam urusan profesional, soal sentimen tidak penting, yang penting pemain boleh memenuhi kriteria kita.
"Kita ingin memastikan setiap pemain adalah pemain boleh mengisi kekosongan apabila berlaku kecederaan atau penggantungan. 

"Sekurang-kurangnya setiap posisi ada dua pemain yang sama kaliber. Pengalaman sebelum ini mendapati pemain simpanan tidak cukup kuat untuk menjaga prestasi pasukan," katanya.

Tambahnya, pasukan itu akan menggunakan sistem penggiliran kerana mempunyai pemain yang cukup dan kualiti yang sama selain tidak mahu wujud istilah pasukan pertama atau kedua kerana memiliki tahap yang sama.

Annuar memberitahu, selain tiga pemain tersebut, bekas penyerang skuad Hijau Kuning, Azlan Ismail yang juga anak jati Kelantan kembali menyarung jersi biarpun masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan.

Antara pemain yang akan beraksi bersama juara Liga Super 2011 ini ialah Mohd. Shahrizan Ismail, Khairul Fahmi Che Mat, S. Subramaniam, Mohd. Farisham Ismail, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Muhammad Abdul Aziz Ismail, Mohd. Rizal Fahmi Rosid, Zamri Ramli, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim .

Selain itu, Kelantan turut diperkuatkan dengan Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Mohd. Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Tahala, Nurul Azuwan Roya, Zairul Fitree Ishak, S. Chanturu dan Mohd. Badri Radzhi

Dalam pada itu, Annuar mengesahkan peledak berbisa Lebanon, Mohamad Mahmood Ghaddar yang juga penyerang pasukan kebangsaan negara itu telah bersetuju menyarung jersi skuad kijang selama dua musim.
"Kita juga telah menamatkan perundingan dengan seorang lagi pemain import dari Lebanon iaitu Mohamad Ghaddar yang juga penyerang pasukan kebangsaan negara itu yang telah bersetuju bersama kita selama dua musim.

"Beliau kini sedang menjalani latihan di Doha, Qatar bersama pasukan kebangsaannya untuk pra kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan 15 November ini dan dijangka tiba di Kuala Lumpur 17 November ketika Kelantan dijadualkan menentang pasukan kebangsaan Maldives," ujarnya.

Tambahnya, dua pemain import dari Ghana yang menjalani latihan bersama Kelantan sejak sebulan lalu, Denny Antwi dan Emmanuel Okine sah menyarung jersi Kelantan untuk kontrak selama dua musim.

Annuar turut menegaskan dua lagi pemain tempatan kini sedang diburu untuk memperkuatkan lagi pasukan dan proses rundingan sedang dijalankan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain 8 Disember ini.

"Kita juga sedang menilai dua lagi pemain import yang kini sedang beraksi di Divisyen 1 Eropah dan salah seorangnya akan di bawa ke Kota Bharu untuk mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan AFC," jelasnya.