SENTUHAN jurulatih baru Kelantan, Bojan Hodak menjadi apabila beliau
menyaksikan anak buahnya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 untuk
mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super.
Aksi yang berlangsung di Kota Bharu, malam tadi adalah
perlawanan pertama dikendalikan pengendali dari Croatia itu yang hanya
menjadi pemerhati di tempat duduk penonton selepas mengambil alih tugas
yang ditinggalkan Peter Butler minggu lalu.
Tiga mata yang diraih Kelantan menerusi gol kemenangan saat akhir pemain sayap kanan, S Chanturu membolehkan Red Warriors mengumpul 20 mata, tiga mata meninggalkan pencabar terdekat Terengganu dan T-Team.
Kelantan tidak menunggu lama membuka tirai jaringan apabila
rembatan kapten, Mohd Badri Mohd Radzi terkena pertahanan Negeri
Sembilan sebelum menerjah gawang seawal minit kedua.
Pasukan pelawat kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah hampir menyamakan kedudukan dua minit kemudian namun rembatan penyerang, Ahmad Shakir Ali tersasar meskipun hanya berdepan dengan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Negeri Sembilan bangkit mengikat kedudukan 1-1 selepas sepakan lambung Jean-Emmanuel Effa Owona dalam kotak penalti berjaya ditanduk masuk Shakir m-54.
Kemasukan Mohd Nurul Azwan Roya dan Onyekachi Nwoha bagi
memantapkan bahagian serangan tetap tidak berhasil buat Kelantan apabila
mereka buntu menembusi gawang yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Mohd
Farizal Marlias.
Bagaimanapun usaha keras Kelantan berhasil selepas rembatan Chanturu berjaya menghasilkan gol kemenangan di lewat permainan selepas aksi kelam-kabut di depan gawang pasukan pelawat.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/04
--- HARIAN METRO