Tuesday, April 3, 2012

Arema FC sukar ramal peluang bertemu Kelantan esok



3 April 2012
Kelantan FA
KOTA BHARU -- Arema FC, yang bakal bertemu Kelantan dalam saingan Piala AFC malam esok, sukar meramalkan peluang pasukan itu yang dilihat memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

Ketua jurulatihnya Dejan Antonic mengakui masih kurang memahami corak permainan Kelantan namun berharap kesebelasan utamanya bermain tenang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

"Kesemua pemain kami bebas daripada kecederaan dan mampu berbuat sesuatu ketika menentang Kelantan malam esok.

"Apa yang saya tahu semua pasukan dalam Kumpulan H ini iaitu pasukan dari Myanmar, Vietnam dan Malaysia merupakan pasukan yang sangat bagus dan kita tidak tahu boleh menang atau kalah (perlawanan malam esok)," katanya pada sidang berita bersama pasukan Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak, ketua pasukan Arema FC Legimin Raharjo dan ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Radzi.
 
Malam esok adalah perlawanan ketiga bagi peringkat kumpulan itu, dengan kedua-kedua pasukan masing-masing mencatatkan satu keputusan seri dan satu kalah.

Kelantan sebelum ini seri tanpa jaringan menentang Navibank Saigon dari Vietnam dan tewas 1-3 kepada Ayeyawady United dari Myanmar.

Arema FC dari Indonesia itu pula seri 1-1 dengan Ayeyawady dan tewas 1-3 dengan Navibank.

"Kami dan Kelantan berada pada kedudukan sama. Pasukan kami yang mempunyai tiga pemain kebangsaan Indonesia perlu bekerja lebih keras malam esok dan sudah tentu kami mahu menang," kata jurulatih dari Serbia itu.

Bagi Bojan, bermain di gelanggang sendiri tetap memberi peluang terbaik kepada Kelantan dan berharap penyerang import Nwoha Onyekachi dan Nurshahrul Idlan Talaha pulih daripada kecederaan dan mampu mewakili pasukan.
 
Beliau mengharapkan penyokong Kelantan dapat memberikan sokongan padu kepada pasukan dan menonton dengan semangat kesukanan.

Sementara itu, Mohd Badhri mengharapkan pemain yang lain bermain dengan kesungguhan dan mahukan kemenangan itu dihadiahkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa yang bakal berdepan tindakan disiplin oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) esok.

Bagi ketua pasukan Arema FC, Legimin berharap rakan-rakan sepasukannya juga dapat bermain dengan baik tanpa tekanan.

Pegawai Media KAFA, Wan Badri Wan Omar mahu penyokong Kelantan dapat menyaksikan perlawanan itu dengan penuh semangat kesukanan kerana AFC mempunyai peraturan yang sangat ketat jika melanggar peraturan itu.

"Kita telah bersiap sedia dengan kawalan keselamatan di dalam stadium dan di luar stadium. Ini perlawanan bertaraf antarabangsa dan Kafa yakin semuanya berjalan dengan baik," katanya.

Harga tiket yang mula dijual hari ini berharga RM15 untuk tempat terbuka manakala di astaka RM30. -- Bernama

--- SINAR HARIAN