Saturday, February 28, 2015

Piala FA: Kelantan Buru Gol Awal Berdepan Sarawak - Boateng

KOTA BAHARU, 26 Feb (Bernama) -- Kelantan perlu menjaringkan gol awal untuk mengekalkan momentum pada perlawanan pertama kempen Piala FA menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, Jumaat malam.

Ketua jurulatih Kelantan, George Boateng berkata Sarawak adalah lawan yang sukar untuk dijinakkan kerana pasukan berkenaan belum lagi tewas dalam saingan Liga Super setakat ini.

"Mereka (Sarawak) mempamerkan corak permainan pantas dan kami sudah bersedia, dan kami tahu corak permainan mereka...kami ke sana dengan harapan untuk mencatat kemenangan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Kelantan yang tewas 0-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kempen Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu pada Sabtu lepas, perlukan kemenangan ke atas Sarawak bagi meningkatkan kembali semangat pemain.

Pengendali berusia 40 tahun dari Belanda itu, berharap dua penyerangnya Mohd Nor Farhan Muhammad dan Emmanuel Kenmogne berada di prestasi terbaik untuk menjaringkan gol apabila berdepan Sarawak.

"Setiap perlawanan, kita perlu menang dan kami tidak pernah menampilkan corak permainan bertahan. Saya harap Farhan dan Pacho (Emmanuel Kenmogne) mampu menjaringkan gol apabila menentang Sarawak," katanya.

Boateng berkata tiada masalah di bahagian pertahanan Kelantan dan beliau tidak bercadang melakukan rombakan terhadap barisan pemain itu.

"Barisan pertahanan kita cukup bagus walaupun kita tewas (kepada PDRM)...sebelum ini mereka berjaya mengekang daripada dibolosi pihak lawan dan saya merasakan kita tidak mempunyai masalah di bahagian pertahanan," katanya.

-- BERNAMA