Monday, June 29, 2009

Seladang dibaham Sang Kijang

INDRA PUTRA (tengah) muncul wira Kelantan apabila meledakkan hatrik pada aksi di Kota Bharu kelmarin.


HATRIK daripada penyerang sensasi Kelantan, Indra Putra Mahyuddin memusnahkan impian Perak untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super.

Turun dengan reputasi membenam Negeri Sembilan di laman sendiri Selasa lalu, Perak begitu bersemangat untuk memburu gol awal melalui penyerang berbisa mereka, Razali Umar Kandasamy.

Namun, anak-anak buah Peter James Butler menyedari bahawa mereka bukanlah lawan sebenar kepada Kelantan apabila tewas besar 0-4.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan melalui trio penggempur mereka, Khalid Jamlus, Norfarhan Mohamad dan Indra Putra terus melakukan asakan ke kubu Perak.

Bagaimanapun, barisan pertahanan Perak yang diterajui ketua pasukan, Chun Keng Hung begitu kental bertahan.

Kelantan hampir berada di depan pada minit ke-25 apabila ketua pasukan, Badri Radzi melakukan aksi 'Maradona' apabila menggelecek lima pemain Perak daripada garisan tengah padang, namun penyudahnya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Kamarul Effendy.

Selang tujuh minit kemudian, Perak juga mendapat peluang keemasan apabila bola tampanan Ahmad Azlan Zainal melantun di hadapan Razali, namun sepakan lemahnya berjaya dibaca Shahrizan Ismail
Usaha Kelantan akhirnya berjaya menerusi Indra apabila sepakan percumanya dari jarak 30 meter terus ke sasaran.

Tujuh minit selepas wisel separuh masa kedua dibunyikan, Stadium Sultan Muhammed IV terus bergema.

Norfarhan yang menerima hantaran Badri, bijak melakukan lorongan kepada Indra yang menolak mudah bola ke gawang Perak untuk gol kedua peribadinya.

Pemain Perak seperti tenggelam punca apabila mereka terus hanyut dengan sorakan hampir 22,000 'tentera-tentera merah' yang memenuhi stadium.

Barisan pertahanan yang diterajui oleh Ahmad Azlan dan Farisham Ismail terlalu kebal untuk ditembusi oleh jentera serangan Perak sehingga menyaksikan Shahrizan tidak perlu bekerja keras menjaga gawangnya.

Mengambil kesempatan daripada kelemahan Perak, Kelantan terus menggandakan asakan dan pada minit ke-68 Norfarhan turut mencatat namanya selaku penja- ring gol.

Dia yang menerima hanta- ran Badri bijak memperdayakan pertahanan Perak sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan oleh Kamarul Effendy.

Indra yang berada pada prestasi sebenar, membuktikan dia adalah 'bintang' di hati peminat Kelantan apabila menyempurnakan hatrik pada minit ke-74 bagi meleng- kapkan kemenangan 4-0 yang penuh bergaya itu.