Thursday, May 28, 2009

Kelantan terus buat rayuan

KUALA LUMPUR - Demi kepentingan bola sepak Kelantan, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tidak patah semangat dan menyerah kalah untuk terus memohon rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar hukuman yang dikenakan ke atas mereka ditarik balik.

Menurutnya, surat rayuan kedua akan diserahkan kepada FAM berserta bukti-bukti baru kekecohan yang berlaku di Stadium Sultan Muhammed IV bagi memberikan gambaran sebenar situasi yang berlaku pada ketika itu.

"Kami bukan hendak melawan berhubung hukuman yang dikenakan oleh FAM tetapi rayuan kedua bersama fakta-fakta baru ini diharap dapat memberi ruang kepada kami dibenarkan semula beraksi di Kota Bharu," katanya dalam sidang media selepas perlawanan antara Kelantan dan KL PLUS kelmarin.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan iaitu beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah ternyata memberi banyak masalah kepada mereka terutamanya dari segi faktor kewangan.

"Kita juga minta FAM konsisten dalam mengenakan hukuman kepada pasukan mahupun persatuan. Sebelum ini insiden membakar bas di Terengganu dan penyokong memasuki padang di Johor hanya dikenakan hukuman gantung satu perlawanan.

"Jadi kami meminta ruang kepada FAM untuk membenarkan semula kami beraksi di Kota Bharu dan saya tidak sesekali akan berputus asa jika rayuan kali kedua ini ditolak kerana ia akan menimbulkan kekecewaan terutama sekali kepada peminat bola sepak Kelantan," katanya.

Dalam pada itu Annuar berkata, tempoh rehat pertengahan musim ini akan digunakan sepenuhnya oleh pemain bagi memulihkan semula semangat mereka dan mempersiapkan pasukan dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

"Kita akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Kota Bharu bagi menghidupkan semula suasana bola sepak di Kelantan dengan menjemput dua orang bekas pemain import Mohamadou Moustapha dan Suriya Domtaisong untuk memeriahkan lagi perlawanan tersebut.

"Ini adalah hadiah kepada penyokong dan dalam masa yang sama untuk memulihkan semula semangat pemain," katanya yang menyatakan perlawanan persahabatan akan diadakan pada 6 Jun depan menentang Proton FC, diikuti 9 Jun bertemu Selangor manakala satu lagi perlawanan belum diputuskan.

Annuar juga berkata, Kelantan akan memperkemaskan semula pasukannya selepas mengenal pasti beberapa kelemahan terutama di bahagian tengah dan pertahanan yang gagal menunjukkan bentuk permainan menarik seperti di awal musim.

"Dalam masa yang sama kita masih lagi berkeinginan untuk membawa masuk pemain baru terutama menjelang saingan Piala Malaysia, saya membayangkan kita perlu mempunyai seorang lagi penjaga gol yang tangkas, pertahanan yang kental, pemain tengah yang kreatif dan penyerang yang berimaginasi tinggi.

--- UTUSAN MALAYSIA