PERTEMBUNGAN antara Kelantan dengan Selangor pada perlawanan akhir
Piala FA malam esok membawa epik baru dalam bola sepak Malaysia.
Selangor merupakan pasukan pilihan dan cukup sinonim dengan gelaran juara manakala Kelantan pula turun selaku pasukan underdog yang membawa pulang piala tersebut ke Kota Bharu.
Bagi sebahagian besar pemain Kelantan, ini merupakan episod baru
dalam karier mereka sebagai pemain bola sepak apabila bakal beraksi di
pentas perlawanan akhir.
Bermula daripada jentera penggempur sehingga ke penjaga gawang,
Kelantan dilihat mempunyai kelebihan tersendiri sementelah mereka juga
memiliki pemain-pemain bintang serta pemain muda yang semangatnya makin
membara.
Memiliki susuk tubuh yang kecil, namun besar semangatnya, Shahrizan
Ismail pasti nekad untuk tidak membiarkan gawangnya dibocori.
Pada posisi pertahanan, cukup baik untuk diperkatakan apabila
kembalinya pemain pertahanan kanan kebangsaan, Daudsu Jamaluddin selepas
menjalani penggantungan.
Gandingannya bersama Farisham Ismail tidak perlu di pertikai lagi
kerana kedua-duanya memiliki susuk tubuh yang hampir sama serta
kepantasan yang sangat diperlukan sebagai pertahanan.
Diterajui oleh Sarudy Aziz, kombinasi pemain pertahanan Kelantan yang
turut disertai Zairul Fitree Ishak dilihat lebih mantap selepas
kritikan hebat sebelum ini berikutan prestasi mereka yang membimbangkan.
Bahagian tengah Kelantan menampilkan beberapa pemain yang berkaliber.
Kombinasi Zamri Ramli dan Indra Putra Mahyuddin di bahagian sayap, pasti menghadirkan keresahan pasukan lawan.
Walaupun baru menginjak usia 18 tahun, Zamri berjaya menghadirkan
momentum baru buat Kelantan, dengan larian pantas serta hantaran lintang
berbahaya, ia pastinya meresahkan Khairul Anuar Baharom dan rakan-rakan
lain.
Bagi Indra Putra Mahyuddin, keputusan untuk menyertai Kelantan
bukanlah sekadar untuk beralih angin tetapi dia pantas menjadi watak
utama kebangkitan Kelantan musim ini.
Kemahiran mengawal bola, sepakan percuma, serta pantas menghidu
peluang di depan gol menjadikan dia semakin dekat di hati seluruh
peminat bola sepak Kelantan.
Sentiasa turun dengan gaya rambut yang menarik, kelibat pemain yang berlilit lengan ini tidak perlu dipertikaikan lagi.
Badri Radzi adalah senjata paling ampuh untuk menggerakkan bahagian
tengah selain membuka ruang serta lorongan-lorongan untuk disudahkan
jentera penggempur.
Badri mungkin terpaksa menunggu untuk mendapat jawapan siapa yang
bakal digandingkan bersamanya kerana kini persaingan untuk merebut
posisi defensive midfielder sengit antara Ahmad Ezrie Shafizi dan Rizal Fahmi Rosid.
Kedua-dua pemain ini yang memiliki kelebihan tersendiri pasti memeningkan kepala Peter James Butler untuk memilih.
Namun, apa yang pasti, kedua-dua pemain ini sudah bersedia untuk diberi penghormatan beraksi di pentas setinggi ini.
Jawatan selaku penggempur pastinya akan diserahkan kepada Khalid
Jamlus dan Norfarhan Mohamad untuk menghadirkan kegembiraan kepada
seluruh penyokong Kelantan.
Kemampuan Khalid seharusnya tidak dipertikaikan kerana pemain ini
cukup sarat dengan pengalaman beraksi di pentas final, sementara
Norfarhan memiliki aura tersendiri untuk mencipta jaringan.
--- KOSMO