|
|
KOTA BHARU - Di bawah bimbingan Peter Butler musim ini, Badri Radzi seperti beberapa pemain Kelantan lain mulai menyinar dan diberi tanggungjawab besar menerajui skuad dengan lilitan kapten pada lengannya.
Lebih dikenali sebagai Piya, Badri yang bertindak sebagai perancang bagi skuad Kijang kini berdepan dengan tuntutan cukup berat, Sabtu ini; memastikan skuad Kelantan pulang membawa Piala FA.
Badri sedar dia perlu menyerap tekanan lebih berbanding rakan-rakan lain bagi memastikan gerakan berasaskan strategi untuk disudahkan oleh barisan penyerang Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Norfarhan Mohd., Che Hishamuddin Hassan dan Khalid Jamlus.
Kebijaksanaannya kali ini amat dituntut merencanakan gerakan serta membuka peluang kepada jentera penggempur Kelantan itu.
Pembantu jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha pernah memberitahu
bahawa, Piya merupakan antara kekuatan Kelantan kerana selalunya jika
dia beraksi baik maka, keputusan juga lebih memihak.
Ketenangan serta kreativiti amat ditagih oleh jurulatih, Peter Butler
dan puluhan ribu penyokong setia sang Kijang dalam misi memburu Piala
FA, merintis sejarah dengan peluang pertama terbuka untuknya.
Menumbangkan Selangor bukan suatu yang mudah tetapi menurutnya, ia
juga bukan suatu yang mustahil kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh
berlaku.
"Kami semua sudah bersiap sedia. Ini adalah pengalaman pertama saya
dan rakan-rakan yang kecuali Khalid (Jamlus) dan Indra (Putra Mahyuddin)
yang pernah beraksi sebelum ini.
"Perasaan kami juga agak bercampur baur, berdebar, bimbang dan teruja
kerana akan beraksi depan puluhan ribu peminat selain cabarannya juga
berbeza," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambahnya, nasihat jurulatih serta rakan-rakan yang mempunyai
pengalaman adalah amat berguna untuk menyerap segala tekanan yang ada.
Jelasnya, pemain-pemain kini sudah siap untuk turun beraksi dan
berharap tuah akan memihak kepada pasukan Kelantan yang sememangnya
dahagakan kemenangan.
"Jurulatih mahu kami semua 'enjoy' dalam perlawanan esok dan minta
kami main seperti biasa. ini peluang kami untuk mencipta kejutan selain
mencari pengalaman baru.
"Saya juga akan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada
dan bermain dengan lebih tenang untuk membuka peluang kepada rakan-rakan
menjaringkan gol," ujarnya.
Ketika ditanya siapakah pemain Selangor yang perlu diawasi ketika
pertembungan Sabtu ini, Badri menyifatkan mereka mempunyai kekuatan yang
seimbang dengan Kelantan, cuma perlu mengetatkan kawalan terhadap Amri
(Yahyah).
"Kita tidak mempunyai rancangan khusus untuknya namun, dia seorang
pemain yang bagus dan dia boleh muncul dimana-mana sahaja untuk
menjaringkan gol, jadi kita perlu mengawasinya," ujarnya.
--- UTUSAN MALAYSIA