Sunday, March 22, 2009

Ibarat 'Old Trafford'


BADRI yakin dengan
kemampuan rakan
sepasukan pada pertemuan menentang Pulau Pinang di Kota Bharu malam ini.


TUAH Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Kota Bharu sekali lagi menjadi sandaran pasukan Kelantan apabila melayan kunjungan Pulau Pinang pada perlawanan Liga Super malam ini.
Rekod cemerlang di gelanggang keramat mereka itu akan terus dipertahankan dan apa yang pasti, pasukan lawan akan berasa gerun melangkah ke stadium tersebut yang menjadi gelanggang Sang Kijang berpesta gol.
Penyokongnya menyifatkan ia ibarat 'Old Trafford' tempatan kerana pasukan lawan tidak akan pulang selesa dari stadium tersebut.
Ketua pasukan, Badri Radzi memberitahu bahawa rakan sepasukannya kini sudah bersedia dan bersemangat untuk turun beraksi selepas hampir dua minggu berehat ketika saingan liga dihentikan seketika.

Menurutnya, Sang Kijang kini berada pada prestasi terbaik dan semua pemain bebas daripada seba- rang kecederaan, cuma dua pemain sahaja yang mengalami penggantungan.

"Zairul (Fitree Ishak) tidak dapat beraksi akibat mengumpul tiga kad kuning sementara Azlan (Zainal) pula masih menjalani penggantungan akibat kad merah ketika pertemuan menentang UPB-MyTeam pada 3 Mac lalu.

"Kita tidak mengalami masalah dengan penggantungan tersebut kerana masih ramai lagi pemain yang mampu mengisi kekosongan tersebut," katanya ketika dihubungi baru- baru ini.

Tambahnya, jentera penggempur yang diketuai Khalid Jamlus dan Norfarhan Mohamad juga dilihat sudah bersedia untuk merobek gawang lawan.

Bagaimanapun, Badri juga mengharapkan rakannya di bahagian tengah, Khairan Eroza Razali akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan sebelum perlawanan bermula malam ini. 

"Buat masa ini saya belum pasti siapa yang akan digandingkan bersama saya dan kami semua berjanji untuk melakukan yang terbaik," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menaruh harapan agar jurulatih Peter James Butler dapat menyenaraikan penyerang lincah, Che Hishammuddin Hassan dalam kesebelasan utama.

Jelasnya, pemain itu mampu memainkan peranan yang besar dalam usaha mengucar-ngacirkan pertahanan lawan dengan kepantasan dan kelincahan yang dimiliki.

"Dia memang dikenali sebagai seorang penyerang yang lincah dan kita memerlukan khidmatnya untuk membentuk rangkaian penggempur yang lebih bertenaga.

"Sejak beberapa hari lalu, jurulatih nampaknya banyak mengguna- kan khidmatnya dalam sesi latihan dan kita berharap dia akan disena- raikan dalam skuad yang akan turun menentang Pulau Pinang nanti," jelasnya.