Friday, March 20, 2009

Kelantan lega kehadiran Farisham

SKUAD Kelantan mampu menarik nafas lega apabila tonggak pertahanan mereka, Farisham Ismail pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Dia disahkan cergas untuk kembali beraksi.

Pertembungan menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Super di Kota Bharu, Sabtu ini bakal menampilkan aksi pertamanya selepas hampir tiga bulan berehat.

Menurutnya, beliau terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika latihan sebelum menentang Johor dalam saingan Piala FA, Januari lalu.

"Saya hanya sempat beraksi dalam tiga perlawanan untuk musim 2009 dan terpaksa melihat aksi rakan-rakan dari luar padang selepas mengalami kecederaan.

"Kini saya disahkan cergas dan tidak sabar untuk kembali beraksi dan berharap akan disenaraikan dalam pertemuan menentang Pulau Pinang Sabtu ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau sudah menjalani latihan seperti biasa dan sudah tidak sabar untuk turun beraksi membantu benteng Kelantan yang dilihat agak longgar.

"Saya mungkin akan digandingkan bersama Rizal (Fahmi Rosid) sebagai bek tengah selepas kehadiran Daudsu (Jamaluddin) yang mengambil posisi lama di bahagian pertahanan kanan.

"Pertahanan tengah memang posisi saya sejak dulu dan tahun lepas saya terpaksa bermain sebagai bek kanan," ujarnya.

Jelasnya, beliau tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan bersama Rizal Fahmi kerana pernah bermain bersama sejak mewakili Kelantan dalam pasukan Piala Presiden.

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi berkata, kehadiran Farisham mampu mengubah persembahan Sang Kijang dan khidmatnya amat diperlukan.

Jelasnya, Kelantan kehilangan khidmat Ahmad Azlan Zainal yang masih menjalani hukuman penggantungan akibat dilayangkan kad merah dan Farisham dilihat mampu mengisi kekosongan tersebut.

"Dia (Farisham) mempunyai kepantasan yang sungguh menakjubkan dan pasukan amat bergantung harap kepadanya untuk membentuk benteng yang kukuh bersama Rizal.

"Kita sedang berusaha untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan yang dilihat agak longgar dan pemain lain juga dilihat sudah bersedia beraksi selepas diberikan cuti yang agak panjang," ujarnya.